PARLIMEN | Pelabur masuk, tak mahu anak tempatan sekadar tengok – Anwar
Kerajaan MADANI akan memastikan syarikat-syarikat besar yang beroperasi dalam Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand memberi keutamaan kepada penyertaan syarikat tempatan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan memperkukuhkan latihan TVET dan program keusahawanan bagi menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Menurutnya, kerjasama antara syarikat multinasional dengan universiti tempatan yang dilaksanakan ketika ini boleh dijadikan model bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Anwar memberi contoh kerjasama melibatkan Infineon dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Nvidia dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Intel dan Google dengan universiti tempatan dalam menyediakan latihan kepada pelajar sebelum mereka diserap ke dalam industri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga digalakkan menyediakan kawasan perniagaan berhampiran projek-projek utama supaya lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk penduduk setempat.
Katanya, kerajaan turut mengekalkan pendirian supaya syarikat-syarikat besar menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada anak-anak tempatan agar manfaat pelaburan dapat dinikmati rakyat di kawasan sempadan.
BACA JUGA PARLIMEN | Zon ekonomi sempadan, Thailand buka pintu, Malaysia dapat apa?