Selangor lancar Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026, angkat batik ke persada dunia

FOTO BERITA: Sidang Media dan Majlis Peluncuran KRAF Selangor Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 bersama YB Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya, Selangor. Selasa, 14hb Julai 2026 (Gambar: Unit Media Pejabat Exco)

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor melancarkan Pertandingan Kraf Selangor: Piala Tengku Permaisuri Selangor 2026 sebagai inisiatif berprestij untuk memperkasa industri ekonomi kreatif, memelihara warisan budaya serta mengangkat Batik Selangor sebagai identiti negeri yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bertemakan “Warisan. Identiti. Inovasi.”, pertandingan itu menjadi platform strategik bagi menggalakkan penghasilan reka bentuk baharu, inovasi produk dan peningkatan nilai komersial Batik Selangor tanpa mengabaikan keaslian seni, kemahiran tradisional pembatik serta warisan budaya yang menjadi identiti negeri. Inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk merakyatkan Batik Selangor agar menjadi pilihan masyarakat dalam kehidupan seharian dan tidak hanya terhad sebagai pakaian rasmi atau eksklusif. Langkah itu diharap dapat menyemarakkan rasa bangga terhadap warisan negeri serta memperkukuhkan identiti budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Pertandingan berkenaan menawarkan dua kategori utama iaitu Kategori Fesyen Batik Selangor dan Kategori Lukisan Batik Selangor, dengan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM90,000, sekali gus menjadikannya antara pertandingan batik dan kraf paling berprestij pernah dianjurkan di Selangor. Lebih istimewa, pertandingan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tengku Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor untuk menggunakan nama baginda sebagai identiti rasmi pertandingan, sekali gus dikenali sebagai Piala Tengku Permaisuri Selangor.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi, berkata pertandingan itu selaras dengan agenda pembangunan Ekonomi Kreatif Selangor yang melihat sektor seni dan budaya, khususnya subsektor fesyen dan tekstil, bukan sahaja sebagai warisan yang perlu dipelihara tetapi juga pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.

Menurut beliau, pembangunan industri kreatif mampu menjana peluang pekerjaan, melahirkan lebih ramai usahawan kreatif serta memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif negara.

“Kerajaan Negeri Selangor yakin melalui usaha kolektif ini, Batik Selangor bukan sahaja akan terus dipelihara sebagai warisan budaya negeri, malah berpotensi berkembang menjadi jenama kreatif bertaraf antarabangsa yang mampu mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di persada dunia,” katanya.
