Tok Min ‘poster boy’ PH, kekal calon MB
Pakatan Harapan (PH) menamatkan spekulasi mengenai siapa bakal menerajui Negeri Sembilan apabila secara terbuka menamakan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Isyarat itu bukan sahaja dizahirkan menerusi pengumuman Aminuddin sebagai calon pertama pada majlis pengenalan calon PH, malah diperkuatkan lagi apabila empat pemimpin tertinggi gabungan secara terbuka mengangkat beliau sebagai wajah utama kempen pilihan raya negeri.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan pengumuman dengan memperkenalkan Aminuddin sebagai calon pertama, sebelum Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyifatkan penyandang Menteri Besar itu sebagai ‘poster boy’ PH dan menegaskan beliau akan kekal menerajui negeri jika gabungan itu diberi mandat sekali lagi.
Mesej sama kemudian diulang oleh Timbalan Pengerusi PH yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menggelarkan Aminuddin atau Tok Min sebagai “panglima PH” di Negeri Sembilan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, turut mengangkat Aminuddin sebagai ‘poster boy’ gabungan itu bagi menghadapi PRN kali ini.
Pengulangan mesej yang sama oleh pemimpin tertinggi PKR, DAP dan AMANAH dilihat bukan sekadar kebetulan, sebaliknya strategi komunikasi yang disengajakan bagi menutup terus polemik mengenai calon Menteri Besar sepanjang tempoh berkempen.
Dengan isu kepimpinan diselesaikan lebih awal, PH kini dilihat mahu mengalihkan perhatian pengundi kepada rekod pentadbiran Aminuddin sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2018.
Sepanjang tempoh itu, kerajaan Negeri Sembilan sering mengetengahkan beberapa pencapaian utama termasuk merekodkan pelaburan bernilai RM19.1 bilion, meningkatkan simpanan kerajaan negeri kepada RM1.3 bilion, memperkenalkan program TVET percuma serta merancang pembangunan pelabuhan berteknologi kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson yang dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.
Aminuddin juga dilihat mengambil pendekatan berbeza ketika berdepan kemelut politik melibatkan institusi adat Negeri Sembilan apabila memilih membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, meskipun kerajaan negeri masih mempunyai baki tempoh pentadbiran.
Langkah itu kemudian dijadikan antara naratif utama PH sepanjang pelancaran kempen, dengan pemimpinnya menegaskan PRN Negeri Sembilan adalah medan untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat menentukan hala tuju kerajaan negeri.
Dari sudut politik, Aminuddin turut dilihat memiliki kelebihan apabila diterima oleh semua parti komponen PH.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan bercanggah daripada mana-mana pemimpin utama PKR, DAP atau AMANAH mengenai calon Menteri Besar, malah kesemua mereka tampil dengan mesej yang konsisten menyokong kepimpinan beliau.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) masih belum mengumumkan secara rasmi siapakah yang akan diketengahkan sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
Keadaan itu memberi kelebihan kepada PH untuk memulakan kempen dengan naratif kepimpinan yang jelas, sekali gus membolehkan fokus diberikan kepada prestasi pentadbiran, kestabilan politik dan agenda pembangunan negeri.
Walaupun pengumuman awal calon Menteri Besar tidak menjamin kemenangan pada hari pengundian, strategi itu dilihat berjaya menghapuskan satu isu yang lazimnya menjadi polemik dalam pilihan raya.
Kini, keputusan sama ada Aminuddin akan terus menerajui Negeri Sembilan atau sebaliknya bergantung kepada mandat yang bakal diberikan pengundi pada 1 Ogos nanti.
BACA JUGA Anwar seru rakyat pertahan kerajaan perpaduan, tolak politik fitnah dan perkauman di Negeri Sembilan