Rawatan swasta makin mahal, kerajaan tampil dengan MediAsas
Kerajaan akan memperkenalkan pelan insurans dan takaful perubatan mampu milik MediAsas bermula Januari 2027 bagi membantu rakyat, khususnya golongan M40, mendapatkan perlindungan kesihatan pada kos yang lebih berpatutan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata inisiatif itu dirangka susulan peningkatan mendadak kos rawatan perubatan swasta yang menyebabkan semakin ramai pemegang polisi tidak lagi mampu membayar premium insurans.
Menurutnya, data menunjukkan seramai 340,000 pemegang polisi insurans telah menyerahkan semula polisi mereka pada separuh pertama 2024 selepas berdepan kenaikan premium akibat inflasi perubatan swasta yang mencecah sekitar 15 peratus.
“Kos rawatan perubatan swasta yang melampau tidak sepatutnya terus membebankan rakyat. Kerajaan MADANI mendengar keluhan ini dan kita sedang bertindak secara menyeluruh merentas kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rompin di Dewan Rakyat mengenai langkah kerajaan menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta.
Dzulkefly berkata, MediAsas akan diperkenalkan menerusi Strategi RESET sebagai pilihan perlindungan kesihatan baharu yang lebih mampu dimiliki, terutama bagi golongan M40.
Selain memperkenalkan MediAsas, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah pembaharuan bagi meningkatkan ketelusan dan mengawal kos rawatan di hospital swasta.
Antaranya ialah pelaksanaan secara berperingkat sistem pembayaran Diagnosis Related Groups (DRG) serta Rekod Perubatan Elektronik (EMR) Nasional di fasiliti kesihatan swasta bagi mengurangkan caj yang tidak munasabah serta pertindihan ujian perubatan.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan telah mula menerbitkan julat harga perkhidmatan kesihatan swasta sejak Januari 2026 bagi membolehkan rakyat membuat pilihan yang lebih tepat sebelum mendapatkan rawatan.
Dzulkefly bagaimanapun menegaskan MediAsas bukan bertujuan menggantikan sistem kesihatan awam, sebaliknya melengkapkan perlindungan sedia ada.
“Sistem penjagaan kesihatan awam kekal menjadi teras utama dalam menyediakan Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC).
“Kebajikan golongan B40 dan M40 akan terus diperkasa melalui PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan skim perlindungan MySalam,” katanya.
Beliau berkata kerajaan komited membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang mampan, telus dan adil supaya setiap rakyat Malaysia dapat menikmati akses kepada rawatan berkualiti tanpa dibebani kos yang tinggi.
BACA JUGA ‘Daulah terpendam’ dalam Pas, Zuhdi perli siapa?