KPDN WPKL tumpaskan stor penyimpanan diesel haram, rampasan dianggarkan RM265,000

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Tuan Mohd Sabri Saman, Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan di stor diesel Puchong, Selangor. Rabu 15hb Julai 2026. Gambar: UKK KPDN WPKL)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya membongkar sebuah stor penyimpanan diesel haram dalam satu operasi penguatkuasaan di Sungai Buloh, Selangor.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu adalah hasil maklumat dan aduan orang awam di bawah Inisiatif Kita Gempur.

Menurut beliau, pasukan penguat kuasa KPDN telah menjalankan risikan serta aktiviti pemprofilan selama hampir dua minggu sebelum menyerbu premis yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan diesel tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan diesel secara haram. Dalam operasi ini, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an,” katanya pada sidang media di Stor Diesel, Puchong.

Beliau berkata, antara barangan yang disita ialah sebuah lori tanker, tujuh tangki jenis IBC, tujuh unit hos dan paip, dua pam diesel serta kira-kira 9,000 liter diesel yang dipercayai disimpan secara menyalahi undang-undang.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM265,000,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.

Mohd Sabri berkata siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti dalang serta rangkaian sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

Jika disabitkan kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan serta risikan bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan.

Dalam pada itu, orang ramai diseru supaya terus menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN.