Negeri Sembilan beruntung ada wakil rakyat dengan jawatan Menteri Pengangkutan
Zahid Amran
Sesebuah negeri akan memperoleh manfaat yang besar apabila mempunyai pemimpin yang bukan sahaja memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi, malah berpeluang membawa agenda pembangunan di peringkat Persekutuan.
Negeri Sembilan berada dalam kedudukan yang cukup istimewa apabila mempunyai seorang wakil rakyat yang turut memegang portfolio Menteri Pengangkutan, iaitu YB Anthony Loke.
Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara sedang giat dilaksanakan di bawah Kerajaan PH-MADANI.
Antaranya ialah projek ETS Utara–Selatan yang bakal menghubungkan Padang Besar hingga ke Johor Bahru.
Laluan ini bukan sahaja mempercepatkan perjalanan rentas negeri, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi, pelaburan dan pelancongan.
Negeri Sembilan merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada projek ini.
Laluan ETS melalui Nilai, Seremban, Senawang, Pulau Sebang/Tampin dan Gemas menjadikan negeri ini sebagai penghubung strategik antara utara dan selatan Semenanjung.
Apabila rangkaian ETS beroperasi sepenuhnya, rakyat akan menikmati perjalanan yang lebih pantas, selesa dan efisien.
Pada masa yang sama, Kerajaan PH-MADANI turut meluluskan projek naik taraf Stesen Seremban Sentral bernilai RM170 juta.
Projek ini bukan sekadar membesarkan kapasiti stesen, malah melibatkan pemulihan bangunan warisan dan peningkatan kemudahan moden bagi memenuhi keperluan masa hadapan.
Seremban bakal muncul sebagai hab pengangkutan rel yang lebih moden dan berdaya saing.
Selain pengangkutan rel, Negeri Sembilan turut menikmati pelaksanaan BAS.MY dengan pelaburan melebihi RM100 juta.
Perkhidmatan ini meliputi kesemua tujuh daerah di negeri ini menggunakan bas baharu yang lebih moden dan selesa.
Warga emas, pelajar serta Orang Kurang Upaya pula menikmati perjalanan percuma selepas pendaftaran, manakala orang awam boleh menggunakan pas bulanan My30 untuk perjalanan tanpa had di laluan yang disediakan.
Semua inisiatif ini menunjukkan bahawa pembangunan pengangkutan bukan sekadar membina landasan atau menyediakan bas baharu.
Ia adalah pelaburan jangka panjang yang mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan aktiviti ekonomi dan menjadikan Negeri Sembilan lebih menarik sebagai destinasi pelaburan.
Apabila seorang wakil rakyat diberi amanah sebagai Menteri Pengangkutan, manfaatnya bukan hanya dirasai di peringkat nasional, malah turut memberi impak langsung kepada negeri yang diwakilinya.
Negeri Sembilan hari ini sedang menikmati hasil daripada perancangan yang disusuli dengan pelaksanaan.
Inilah bukti bahawa kepimpinan yang berkesan mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.
BACA JUGA Tok Min ‘poster boy’ PH, kekal calon MB