PH bedah kekalahan di Johor, kini buru semula undi Melayu dan anak muda
Pakatan Harapan (PH) mengakui sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan itu merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus mendorong kepimpinannya menyusun semula strategi kempen menjelang PRN Negeri Sembilan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata analisis keputusan PRN Johor menunjukkan gabungan itu perlu memberi fokus untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu, di samping meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi muda yang masih mempunyai potensi besar.
“Baru-baru ini kita mempunyai pengundi teras yang agak besar, namun kita mengalami penurunan sokongan yang agak ketara dalam kalangan pengundi Melayu di Johor.
“Insya-Allah, kita akan memperkemaskan sokongan khususnya dalam kalangan pengundi muda kerana peratusannya masih boleh ditingkatkan berdasarkan data setiap saluran yang telah kita kembangkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.
Beliau berkata kepimpinan PH akan bermesyuarat pada malam ini bagi memuktamadkan strategi baharu untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan serta pilihan raya di negeri-negeri lain.
Menurutnya, pendekatan kempen kali ini juga akan berbeza kerana PH bukan lagi bertanding sebagai pembangkang, sebaliknya mempertahankan kerajaan negeri yang ditadbir sejak 2018.
“Kita perlu mengubah pendekatan kempen kerana di Negeri Sembilan kita merupakan pihak yang sedang mentadbir, berbeza dengan kerangka kita sebagai pembangkang di Johor yang mahu merampas kuasa,” katanya.
Amirudin berkata penambahbaikan turut melibatkan penyelarasan mesej politik antara PKR, AMANAH dan DAP supaya kempen dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada pengundi.
Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PH semalam berkata, jentera pilihan raya akan digerakkan secara bersepadu bersama kepimpinan Negeri Sembilan yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Saya baru dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya semalam untuk menguruskan pilihan raya PH dan sudah pasti saya akan terlibat secara aktif bagi persediaan di Negeri Sembilan.
“Kita akan menggabungkan langkah awal yang telah dilaksanakan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun dengan sokongan yang diperlukan supaya gerak kerja lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata pemilihan calon dan strategi kempen juga akan disesuaikan mengikut faktor lokaliti bagi memastikan setiap calon mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan pengundi di kawasan masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, diikuti pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
BACA JUGA Rawatan swasta makin mahal, kerajaan tampil dengan MediAsas