Menantu Hadi berkias tentang tiga lembu, singa ketika hubungan Pas-Bersatu terus retak

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), seorang pemimpin Pas tampil berkongsi sebuah kisah kiasan mengenai tiga ekor lembu dan seekor singa yang membawa mesej mengenai akibat perpecahan dalam sesebuah gabungan.

Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, berkata kisah itu berpandukan pepatah Arab yang dipelajarinya ketika menuntut di Damsyik, Syria, puluhan tahun lalu, yang membawa maksud: “Aku dimakan pada hari lembu putih dimakan.”

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau berkata pepatah itu mengajar bahawa kejatuhan sesebuah kumpulan sering bermula apabila anggotanya membiarkan sekutu sendiri disingkirkan.

“Pepatah ini menceritakan bagaimana sebuah kesatuan boleh musnah melalui helah musuh serta taktik pecah dan perintah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut Zaharudin, kisah itu mengisahkan tiga ekor lembu berwarna putih, merah dan hitam yang pada mulanya berjaya mempertahankan diri daripada serangan seekor singa kerana bertindak secara bersatu.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila singa itu berjaya memecahkan perpaduan mereka dengan meyakinkan lembu merah dan hitam bahawa lembu putih menjadi punca mereka mudah dikesan pemburu.

Hasutan itu menyebabkan dua lembu berkenaan membiarkan lembu putih dibaham singa dengan anggapan mereka sendiri akan terselamat.

Namun selepas itu, singa kembali mendapatkan mangsa berikutnya sehingga hanya tinggal seekor lembu yang akhirnya menyedari kesilapan sebenar bukan berlaku ketika dirinya diserang, tetapi ketika dia membiarkan rakannya dimakan terlebih dahulu.

“Ketika itulah dia sedar. Kesilapannya bukan berlaku pada hari dia akan dimakan.

“Kekalahannya bermula jauh lebih awal, iaitu sewaktu dia membiarkan lembu putih diserang dan dimakan oleh singa,” katanya.

Hantaran Zaharudin muncul ketika hubungan antara Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian susulan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bersatu pada Rabu mengumumkan akan menggunakan logo parti sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi dan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN ditangguhkan tanpa tarikh baharu.

Pada hari sama, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa pula mendakwa Bersatu menuntut 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, selain menyifatkan keputusan parti itu bertanding menggunakan lambang sendiri sebagai memilih untuk “mufarakah” daripada PN.

Meneruskan nukilannya, Zaharudin berkata seseorang tidak seharusnya berasa selamat hanya kerana musibah sedang menimpa orang lain.

Katanya, ada kalanya seseorang memilih berdiam diri atau lebih buruk lagi membantu pihak yang menzalimi rakannya kerana percaya dirinya akan terselamat.

“Apabila benteng pertama runtuh, benteng kedua menjadi lebih mudah diserang. Apabila benteng kedua runtuh, tinggallah kita seorang diri,” katanya.

Beliau menambah, orang yang bijaksana akan memahami bahawa kehancuran tidak semestinya bermula pada hari seseorang itu tewas.

“Kadang-kadang ia bermula pada hari kita diam melihat sahabat kita dijatuhkan.

“Kadang-kadang ia bermula pada hari kita berkata, ‘bukan aku yang kena’, dan apabila tiba giliran kita, semuanya sudah terlambat,” katanya sambil memberi bayangan akan menjelaskan siapa yang dimaksudkan sebagai “lembu putih” dan “lembu hitam” dalam hantaran seterusnya.

BACA JUGA Bersatu sebenarnya sudah mufarakah daripada PN, dakwa Annuar