Bantah ADUN lantikan, PH nekad keluar dari kerajaan Melaka 

Pakatan Harapan (PH) Melaka mengumumkan keputusan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas memuktamadkan pendirian menolak cadangan pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan tersebut yang berlangsung hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, PH Melaka memaklumkan kelima-lima ADUN gabungan itu akan menarik diri daripada kerajaan negeri, selaras dengan prinsip bahawa wakil rakyat yang tidak lagi menyokong dasar kerajaan tidak wajar terus menikmati keistimewaan dan kemudahan sebagai EXCO atau ADUN kerajaan.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat atas prinsip demokrasi dan tanggungjawab politik selepas PH mengambil pendirian menolak pindaan yang dicadangkan.

Selain itu, PH Melaka turut memutuskan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mewakili gabungan berkenaan akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai 2026.

Tempoh tersebut, menurut kenyataan itu, diberikan bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar.

Dalam masa sama, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, kerajaan negeri serta penjawat awam atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka berada dalam pentadbiran.

Walaupun tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, PH menegaskan semua ADUNnya akan terus memberi tumpuan kepada khidmat untuk rakyat Melaka tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat penggal.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong; dan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

BACA JUGA ‘Nak lanyak saya di Linggi?’, Tok Min jawab serangan dengan rekod kerja bukan politik kebencian