‘Takut sangat kepada Pas?’ Puad dakwa bantahan MCA cuma hipokrasi politik
Perdebatan mengenai kemungkinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas terus memanas apabila dakwaan bahawa kerjasama itu menggadaikan prinsip disifatkan sebagai sekadar hipokrasi politik.
Malah, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung begitu lantang membantah sebarang kerjasama dengan Pas sedangkan, menurutnya, politik Malaysia sejak sekian lama digerakkan oleh matlamat untuk membentuk kuasa.
“Mengapa takut sangat kepada Pas? Dia kata itu menggadai prinsip. Bila masa MCA ada prinsip?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad turut mendakwa Pas hari ini bukan lagi parti yang memperjuangkan pelaksanaan hudud seperti suatu ketika dahulu.
Beliau juga mengaitkan tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu sebagai bukti parti itu sendiri mengamalkan pendekatan politik yang lebih pragmatik berbanding ideologi.
“Pas bukan parti Islam. Pas tidak lagi memperjuangkan hudud. Cara Pas berkawan pun tidak Islamik. Tengok cara Pas tendang Bersatu. Apakah itu Islamik?” katanya.
Imbas PRU13
Bagi menyokong hujahnya, Puad mengimbas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 apabila DAP berdepan risiko tidak dapat menggunakan lambang roket susulan pertikaian pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Menurut beliau, ketika itu Pas yang merupakan rakan dalam Pakatan Rakyat menawarkan penggunaan lambang bulan kepada calon-calon DAP sekiranya parti itu gagal menggunakan simbol rasminya.
Katanya, surat kuasa berkaitan tawaran tersebut ditandatangani oleh Datuk Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung Pas ketika itu.
Bagaimanapun, sehari sebelum hari penamaan calon, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan DAP menggunakan semula lambang roket.
Puad berkata tindakan Pas ketika itu menunjukkan parti berkenaan sanggup mengetepikan perbezaan ideologi demi mencapai matlamat politik.
“Objektif mereka ketika itu ialah untuk mengalahkan BN pada PRU13. Apa bezanya sekarang? Objektif utamanya ialah untuk tumbangkan PH pula,” katanya.
Beliau turut berkata tindakan Gerakan dan MIPP yang kekal bersama Perikatan Nasional menunjukkan kerjasama politik merentas ideologi bukan sesuatu yang luar biasa.
Menurutnya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak mungkin terlalu mempedulikan kebimbangan yang dibangkitkan sayap pemuda partinya berhubung kemungkinan kerjasama dengan Pas.
Setakat ini, Pemuda MCA belum mengeluarkan sebarang reaksi terhadap kenyataan terbaharu Puad.
BACA JUGA Marzuki dedah ‘permainan’ Pas, dakwa penyatuan Melayu gagal kerana tipu muslihat