Program Sentuhan Kasih Timbalan Menteri KPKT perkasa kemudahan awam dan perumahan di Negeri Sembilan

FOTO BERITA: Program Sentuhan Kasih YB Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Kg. Panchor, Negeri Sembilan. 17hb Julai 2026 (Jumaat)

Program Sentuhan Kasih YB Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Terbuka Kampung Panchor, Sikamat hari ini menjadi kemuncak lawatan kerja dua hari KPKT ke Negeri Sembilan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kemudahan awam, kebajikan rakyat dan pembangunan komuniti.

Program yang dipimpin Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, merupakan sebahagian daripada inisiatif Sentuhan Kasih MADANI yang berlangsung pada 16 hingga 17 Julai 2026.

Pada majlis itu, beliau merasmikan Projek Dewan Terbuka Kampung Panchor yang berjaya disiapkan dalam tempoh 14 minggu. Dewan serba guna berstruktur tiang keluli, berbumbung metal deck dan berlantai simen dengan kemasan epoxy coating itu direka untuk pelbagai aktiviti komuniti termasuk sukan seperti pickleball dan sepak takraw, selain menjadi pusat perhimpunan bagi mengeratkan hubungan kejiranan.

Dalam lawatan sama, Timbalan Menteri turut meninjau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan Pangsapuri Rakyat Seri Perdana bagi memantau pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur termasuk sistem perparitan tertutup serta penaiktarafan rumah sampah. Inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk menikmati persekitaran strata yang lebih selamat, bersih dan berkualiti.

KPKT melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut mencatat pencapaian apabila sebanyak 1,589 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2022 hingga 2026. Pada program tersebut, YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMR kepada penerima dari daerah Kuala Pilah dan Seremban.

Dalam aspek pengurusan sisa pepejal, KPKT melalui SWCorp terus memperkukuh pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) menerusi pendekatan “Penguatkuasaan Rahmah tetapi Tegas”. Sehingga kini, seramai 43 pesalah pembuangan sampah kecil di Negeri Sembilan telah dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh mahkamah. Pada masa sama, program Trash to Cash terus diperkasa bagi menyokong sasaran kadar pemulihan sisa negara sebanyak 53 peratus menjelang tahun 2035.

Menurut KPKT, kejayaan setiap projek pembangunan dan kemudahan awam bergantung kepada kerjasama erat antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pelaksana dan masyarakat dalam memastikan setiap kemudahan dipelihara demi kesejahteraan bersama selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.