Bendera dibakar : PH seru hentikan politik khianat dalam PRN Negeri Sembilan
Pakatan Harapan (PH) mendakwa menerima beberapa laporan kejadian khianat terhadap bahan kempen pilihan raya di Negeri Sembilan, sambil menggesa semua pihak menghentikan amalan politik kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 PH berkata, antara insiden yang dilaporkan ialah pembakaran bendera parti di DUN Palong serta kerosakan pancang bendera di DUN Chembong.
Menurut kenyataan itu, Bilik Gerakan Utama PH menerima laporan mengenai bendera yang dibakar di N06 Palong pada malam semalam, manakala kejadian pancang bendera dirosakkan atas perbuatan khianat dilaporkan berlaku di N31 Chembong pagi ini.
PH berkata, pihaknya berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya siasatan membuktikan bahan kempen seperti poster, bendera atau sepanduk sengaja dirosakkan, diturunkan atau dimusnahkan oleh mana-mana pihak.
Menurut gabungan itu, tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan melakukan khianat.
Bagaimanapun, PH menegaskan mereka tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak selagi siasatan belum selesai.
“Pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan DUN telah dinasihatkan supaya membuat laporan yang sewajarnya, walaupun HARAPAN tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak setakat ini,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, PH mengingatkan seluruh jentera dan penyokongnya supaya tidak bertindak balas terhadap sebarang provokasi yang boleh memburukkan suasana kempen.
Gabungan itu turut menyeru semua parti politik supaya menjadikan kempen PRN sebagai medan menawarkan dasar dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya mencetuskan permusuhan atau melakukan perbuatan khianat.
“Menangilah hati rakyat dan pengundi dengan dasar yang jelas, bukan politik khianat dan kebencian yang langsung tidak berasas,” menurut kenyataan itu.
PH turut menegaskan hak untuk berpolitik dan berkempen adalah sebahagian daripada kebebasan yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan, justeru semua pihak perlu menghormati proses demokrasi dengan berkempen secara matang, aman dan berhemah.
BACA JUGA KWAP rugi RM160 juta, Anwar beri amaran: Kalau ada rasuah, tiada siapa akan terlepas