Sorak sampai pagi, sampah tinggal merata: DBKL tegur sikap penyokong di Dataran Merdeka
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa kecewa apabila Dataran Merdeka dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong berhimpun menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi tadi.
Menurut DBKL, perhimpunan itu pada awalnya berlangsung dalam suasana meriah apabila orang ramai berkumpul untuk menyokong pasukan pilihan masing-masing dan meraikan kemeriahan bola sepak.
Namun, selepas acara berakhir, kawasan bersejarah itu ditinggalkan dalam keadaan kotor dengan timbunan sampah yang mencemarkan imej ibu negara.
“DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan, tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung kepada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
DBKL mengingatkan bahawa Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi tumpuan orang ramai, sebaliknya merupakan simbol sejarah dan maruah negara yang wajar dipelihara bersama.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, cara masyarakat meninggalkan kawasan awam selepas sesuatu acara mencerminkan tahap tanggungjawab sivik serta penghargaan terhadap kemudahan milik bersama.
“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya, tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama,” katanya.
DBKL turut menegaskan bahawa sebuah bandar raya yang hebat bukan hanya dinilai melalui kemeriahan acara yang dianjurkan, tetapi juga melalui sikap masyarakat dalam menjaga kebersihan selepas acara berakhir.
Sehubungan itu, orang ramai diseru mengamalkan budaya bertanggungjawab dengan membawa pulang atau membuang sampah di tempat yang disediakan agar ruang awam kekal bersih dan selesa untuk semua.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” kata DBKL.
BACA JUGA Disangka cuma RM200 setahun, ini fakta sebenar bantuan mahasiswa hasil usaha pentadbiran Tok Min