PM Anwar zahir penghargaan terima kunjungan ulama Mesir Syeikh Mustafa
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi beberapa foto beliau dikunjungi tetamu istimewa, Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani, ulama nadir asal Mansurah, Mesir yang juga merupakan salah seorang murid kanan Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi di Putrajaya hari ini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai hal ehwal semasa serta majlis Ilmu yang melibatkan Syeikh Dr. Mustafa sepanjang berada di Malaysia minggu ini.
Anwar berkata, Syeikh Dr. Mustafa dikenali kerana peribadi yang menenangkan, seorang ilmuwan yang menekankan persoalan akhlak, hikmah dan kedalaman ilmu khususnya bidang hadis.
“Pada zaman yang sering mengangkat sensasi mengatasi ilmu, tokoh seperti Syeikh Dr Mustafa menawarkan kita teladan, mengingatkan kita bahawa ilmu dan hikmah hadir bagai embun di waktu subuh diam, lembut, tetapi menghidupkan alam,” katanya di Facebook .
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr. Mustafa atas nasihat serta doa agar Malaysia terus memelihara perpaduan dan membina kemakmuran dalam keberkatan.
“Kami doakan semoga Allah SWT terus memelihara Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani, memberkati ilmu dan amalnya, serta terus menyambung mata rantai ulama yang membentuk umat dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kasih sayang,” titipnya.