Hajah Zarinna tekankan politik khidmat masyarakat dalam Ziarah Kasih di Lenggeng

FOTO BERITA: Ziarah Kasih calon Harapan N.9 Lenggeng Hjh. Zarinna bersama Naib Presiden Amanah YB DS Dr Dzulkuply Ahmad merangkap Menteri Kesihatan di Kg. Kelusau Mendum, Lenggeng Negeri Sembilan. 21hb Julai 2026 (Selasa)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Hajah Zarinna Abu Zarin, menegaskan bahawa kesejahteraan, keharmonian dan kemajuan masyarakat akan terus menjadi keutamaan sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Ziarah Kasih bersama Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di Kampung Kelusau Mendum, Lenggeng.

Menurutnya, program tersebut melibatkan kunjungan ke lima buah rumah, termasuk menziarahi seorang bekas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang pernah menerima pelbagai Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

“Program seperti ini mencerminkan komitmen Pakatan Harapan sebagai gabungan yang membawa mesej khidmat kepada masyarakat. Kesejahteraan, keharmonian dan kemajuan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Hajah Zarinna berkata sambutan penduduk sepanjang program itu amat menggalakkan apabila mereka bukan sahaja menyambut baik kehadiran rombongan, malah turut berkongsi harapan serta pandangan mengenai pembangunan kawasan.

“Saya berasa sangat teruja dengan sambutan yang diberikan. Penduduk berkongsi harapan mereka dan juga menghargai pelbagai inisiatif yang telah mereka terima sebelum ini,” katanya. Beliau berkata kempen PRN kini memasuki hari keempat dan masih berbaki 10 hari sebelum hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi DUN Lenggeng supaya memberikan sokongan kepada pemimpin yang berintegriti serta boleh dipercayai untuk terus menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya berharap para pengundi di DUN Lenggeng dapat memberikan kepercayaan kepada pemimpin yang benar-benar komited untuk berkhidmat dan menyantuni masyarakat sebaik mungkin,” katanya.