Ibu syukur anak terima banyak bantuan pendidikan, ‘Alhamdulillah rezeki anak saya…terima kasih Tok Min’

Seorang ibu meluahkan rasa penghargaan dan syukur kepada kerajaan Negeri Sembilan atas pelbagai bantuan pendidikan untuk anaknya yang disifatkannya banyak membantu anaknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Perkara itu dikongsikan ibu berkenaan ketika calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paroi, Ahmad Shahir menyantuni penduduk dalam satu program turun padang baru-baru ini.

Ketika berbual dengan Ahmad Shahir, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana tidak dapat menyembunyikan rasa syukurnya apabila bercerita tentang pelbagai bantuan pendidikan yang diterima anaknya daripada kerajaan Negeri Sembilan.

Kata Kak Ana, anaknya menerima pelbagai bantuan termasuklah bantuan komputer riba bernilai RM3,000, bantuan sara hidup RM200 sebulan serta bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi sebanyak RM750 menerusi Yayasan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri.

“Bila anak saya masuk Diploma, saya mohon komputer di bawah Yayasan Negeri Sembilan. Anak saya baru je dapat minggu lepas. 

“Anak saya juga dapat bantuan sara hidup dari kerajaan negeri sebanyak RM200 sebulan. Selain itu, dapat bantuan awal kemasukan ke pengajian tinggi sebanyak RM750 daripada Yayasan Negeri Sembilan. 

“Alhamdulillah lah, rezeki dia. Anak saya punya laptop yang ayah dia bagi tu, second hand punya. Tapi selalu ‘hang’. Kira rezeki dia lah (dapat laptop baru). Alhamdulillah. Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak,” luahnya.

Jika dihitung berdasarkan bantuan yang diterima anak Kak Ana, seorang pelajar boleh menerima manfaat melebihi RM6,000 menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri.

Kak Ana berkata, bantuan itu amat bermakna buat keluarganya yang terdiri daripada golongan B40 dan mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun atas segala kemudahan untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi 

“Terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan dan Tok Min atas saluran serta bantuan untuk pelajar. Untuk keluarga B40 macam saya, tanpa sumbangan dan segala kemudahan ini, mungkin pelajar yang kurang berkemampuan akan tercicir,” katanya.

BACA JUGA Tok Min langgar adat? Dr Faridzwan jawab satu persatu dakwaan