M40 kini tak lagi tercicir, PH janji perluas bantuan hingga pendapatan RM8,000
Golongan M40 di Negeri Sembilan yang sebelum ini sering tercicir daripada pelbagai skim bantuan kerajaan berpeluang menikmati lebih banyak manfaat sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat mentadbir negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16).
Menerusi manifesto yang dilancarkan hari ini, PH mengumumkan cadangan menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM8,000 sebulan, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga, termasuk dalam kategori M40, menerima pelbagai bentuk bantuan dan insentif kerajaan negeri.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pemberian insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT), dengan syarat pendapatan isi rumah ibu bapa tidak melebihi RM8,000 sebulan.
Mengikut cadangan itu, pelajar peringkat sijil akan menerima bantuan RM500, diploma RM750, diploma STEM RM1,000, ijazah sarjana muda RM1,200 dan ijazah sarjana muda STEM sebanyak RM1,500.
Selain bantuan sekali beri itu, mahasiswa turut dijanjikan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM2,400 setahun, bersamaan RM200 sebulan, bagi membantu mengurangkan beban kos pengajian.
Manifesto itu juga menawarkan sumbangan komputer riba mengikut keperluan dan spesifikasi kursus yang diikuti pelajar di IPT.
Dalam pada itu, beberapa bantuan sedia ada turut dicadangkan untuk dipertingkatkan.
Insentif one-off bagi pelajar ijazah sarjana muda, misalnya, akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.
Bantuan Warga Emas pula dicadangkan meningkat daripada RM200 kepada RM300 setahun bagi mereka yang berusia 70 tahun ke atas.
Pada masa sama, kelayakan bantuan itu turut diperluaskan kepada golongan berusia 65 hingga 69 tahun, yang akan menerima bantuan RM200 setahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, manifesto berkenaan mengandungi pelbagai lagi inisiatif yang dirangka untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, peluasan syarat kelayakan itu bertujuan memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan negeri tanpa mengira sama ada mereka berada dalam kelompok B40 atau M40.
Bagaimanapun, semua inisiatif yang diumumkan itu bergantung kepada mandat yang akan diberikan rakyat kepada PH pada PRN-16 Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos nanti.
BACA JUGA Agama bukan alat rebut kuasa, Sultan Nazrin beri peringatan tegas