‘Kalau sudah pilih rumah sebelah, jangan pegang kunci rumah lama’ – Mahfuz tegur BN
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan jika diarahkan Perdana Menteri.
Menurut Mahfuz, isu sebenar bukan tentang arahan PM, tetapi mengapa perlu menunggu arahan jika prinsip kerjasama sudah tidak lagi dihormati.
Beliau menegaskan bahawa tindakan BN bekerjasama dengan pihak yang menentang Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bercanggah dengan semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Tindakan itu sudah tentu mengundang persoalan mengenai komitmen sebenar terhadap semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Dalam budaya kita, kalau sudah memilih rumah sebelah, jangan lagi mahu memegang kunci rumah yang ditinggalkan.
“Begitu juga dalam politik. Tidak wajar pada siang hari menikmati tanggungjawab dan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi pada malam hari bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan BN supaya tidak menjadikan Perdana Menteri sebagai ‘penyapu’ untuk membersihkan kekotoran politik Umno-BN yang dibuat sendiri.
Tegas beliau, ini bukan soal marah atau dendam, tetapi soal integriti politik di mana jikalau benar mereka yakin tindakan mereka betul, maka perlu dibuktikan dengan keberanian membuat keputusan sendiri.
“Jangan meletakkan seluruh beban moral di bahu Perdana Menteri. Seorang pemimpin dinilai bukan apabila diarahkan berundur, tetapi apabila beliau tahu bila masanya untuk berundur demi mempertahankan prinsip,” ujarnya.