Anwar seru pengundi Ampangan pilih kerajaan stabil demi pembangunan rakyat

FOTO BERITA: Santai Petang bersama warga Ampangan yang turut hadir YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Harspan N.14 Ampangan Muhammed Nazri Kassim di Benteng Medan Selera Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. 22hb Julai 2026 (Rabu)

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan supaya membuat pilihan yang terbaik pada pilihan raya demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan untuk rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng Medan Selera Ampangan pada Rabu. Turut hadir calon Pakatan Harapan bagi DUN N.14 Ampangan, Muhammed Nazri Kassim.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya mohon kerjasama semua supaya politik kita terus stabil di peringkat Persekutuan dan negeri, satu hala dan satu tujuan. Kita elakkan penyelewengan dan sentiasa menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa setiap pentadbiran mempunyai ruang untuk penambahbaikan, justeru menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima teguran yang membina demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Anwar turut menyentuh mengenai usaha membangunkan kawasan Ampangan sebagai sebuah kawasan yang bersih, indah dan kondusif, termasuk memastikan kebersihan sungai, parit serta landskap sentiasa terpelihara bagi menarik lebih ramai pengunjung dan membuka peluang ekonomi kepada para peniaga tempatan.

Pada masa sama, beliau mengulangi komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tadbir urus yang baik, memerangi rasuah dan memastikan setiap perbelanjaan awam dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Anwar mengajak para pengundi memilih calon yang berintegriti tanpa mengira kaum, sebaliknya mengutamakan pemimpin yang berwibawa dan mempunyai maruah untuk membawa masa depan yang lebih baik.

Beliau kemudian beredar untuk menghadiri program bersama golongan belia selepas mengucapkan penghargaan kepada para hadirin dan memohon doa agar segala usaha kerajaan dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat.