Tok Min dah buat yang terbaik, sekarang giliran kita pertahankan – Yuneswaran
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj menggesa jentera Pakatan Harapan (PH) supaya menggandakan usaha pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan mempertahankan rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkannya telah membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.
Berucap pada ceramah kelompok di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Pusat Bandar bagi membantu kempen calon PH DUN Palong, Zahin Zinal @ Bong, beliau berkata kejayaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin tidak akan dapat diteruskan tanpa sokongan dan mandat rakyat.
“Tok Min telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik. Sekarang kita pula perlu bekerja lebih kuat untuk mempertahankan pencapaian itu,” katanya.
Menurut Yuneswaran, prestasi Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbiran Negeri Sembilan menjadi bukti bahawa kerajaan yang stabil mampu membawa pembangunan serta menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira kaum.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan politik yang memainkan sentimen perkauman dan perpecahan.
Katanya, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang hidup dalam suasana saling menghormati, dan semangat itu perlu terus dipelihara.
“Kita tidak boleh membiarkan pihak tertentu memecah-belahkan masyarakat hanya kerana kepentingan politik. Perpaduan mesti terus menjadi kekuatan rakyat di Palong dan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat pelbagai kaum, pimpinan tempatan serta jentera pilihan raya yang hadir memberikan sokongan sepanjang kempen.
Mengulas mengenai calon PH di DUN Palong, Yuneswaran menyifatkan Zahin sebagai anak muda tempatan yang memahami keperluan serta aspirasi penduduk.
Katanya, pengalaman Zahin di peringkat akar umbi, digabungkan dengan semangat dan kesungguhan untuk berkhidmat, menjadikannya calon yang mampu membawa suara rakyat di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PH agar terus mendekati pengundi sehingga hari terakhir kempen bagi memastikan mesej gabungan itu sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
“Undilah HARAPAN dan berikan mandat kepada Saudara Zahin Zinal @ Bong untuk meneruskan agenda pembangunan bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan MADANI,” katanya.