‘Agama Tionghua, agama Tamil’? Ucapan Jalaluddin cetus persoalan di media sosial
Kenyataan calon Menteri Besar Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyebut “orang Melayu dengan agama Islamnya, orang Cina dengan fahaman agama Tionghuanya, orang India dengan fahaman agama Tamilnya dan masyarakat Orang Asli” mengundang kritikan selepas rakaman ucapannya tular di media sosial.
Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan penggunaan istilah “agama Tionghua” dan “agama Tamil”, dengan menyifatkan kedua-dua istilah itu tidak tepat kerana Tionghua dan Tamil merujuk kepada identiti etnik, bukannya agama.
Mereka menegaskan masyarakat berketurunan Tionghua dan Tamil di Malaysia menganut pelbagai agama dan kepercayaan.
Bagi masyarakat Tionghua, antaranya termasuk Buddha, Taoisme, Kristian, Islam serta kepercayaan tradisional lain, manakala masyarakat Tamil pula terdiri daripada penganut Hindu, Islam, Kristian, Sikh dan agama-agama lain.
Susulan itu, beberapa pengguna media sosial menyifatkan kesilapan tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seorang pemimpin yang dicanangkan sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ada juga yang berpendapat kenyataan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kerana mencampuradukkan konsep kaum, budaya dan agama.
Isu itu turut mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai keperluan pemimpin politik memahami kepelbagaian masyarakat Malaysia, terutama ketika menyampaikan ucapan yang menyentuh soal identiti kaum dan agama.
Setakat ini, Jalaluddin belum mengeluarkan sebarang penjelasan atau pembetulan berhubung penggunaan istilah berkenaan.
Perdebatan itu berlaku ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki fasa akhir, dengan isu perpaduan dan keharmonian antara kaum menjadi antara tema utama yang dibangkitkan oleh parti-parti yang bertanding.
BACA JUGA Hamzah mahu PBN, Umno jawab: Tak pernah setuju