Jangan sorok satu baris pun, AMANAH desak laporan RCI Tabung Haji didedah tanpa suntingan

Kerajaan digesa menyahklasifikasikan dan mendedahkan segera laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) tanpa sebarang suntingan yang boleh mengaburkan fakta sebenar.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Zamir Ghazali berkata, pendedahan menyeluruh itu penting bagi memastikan lebih sembilan juta pendeposit TH mengetahui kebenaran berhubung isu tadbir urus, pengurusan aset dan keputusan terdahulu yang memberi kesan kepada institusi berkenaan.

Beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa laporan RCI tersebut akan didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.

Menurutnya, keputusan itu merupakan langkah tepat kerana rakyat, khususnya pendeposit TH, mempunyai hak untuk mengetahui dapatan siasatan terhadap institusi kewangan yang dibina daripada simpanan umat Islam sejak sekian lama.

“Tabung Haji adalah amanah umat Islam yang dibina hasil titik peluh jutaan pendeposit.

“Justeru, sebarang persoalan berkaitan tadbir urus, pengurusan aset dan keputusan yang memberi kesan kepada institusi ini tidak boleh terus diselubungi kerahsiaan apabila proses siasatan telah selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kurang berdaya saing

Pada 22 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika menjawab soalan di Dewan Negara memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Zulkifli berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Jelasnya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, laporan akhir RCI TH itu sedia untuk didedahkan bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Anwar berkata, beliau akan merujuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mendedahkan laporan itu selepas mesyuarat Kabinet 29 Julai depan.

Tanpa sebarang suntingan

Mengulas lanjut, Zamir menegaskan, laporan berkenaan perlu diterbitkan secara penuh tanpa sebarang suntingan yang boleh menjejaskan pemahaman rakyat terhadap keseluruhan fakta dan dapatan RCI.

Katanya, ketelusan merupakan asas penting untuk memulihkan keyakinan masyarakat terhadap Tabung Haji, manakala kebenaran tidak boleh didedahkan secara terpilih mengikut kepentingan mana-mana pihak.

“Sekiranya laporan tersebut mengenal pasti sebarang bentuk salah guna kuasa, kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang politik individu yang terlibat.

“Prinsip keadilan hanya bermakna apabila ia dilaksanakan secara adil kepada semua,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat juga perlu diberikan gambaran menyeluruh mengenai langkah pemulihan yang telah dilaksanakan sehingga Tabung Haji kembali berada pada kedudukan lebih kukuh pada hari ini.

Menurut Zamir, pendedahan laporan RCI bukan bertujuan membuka semula luka lama atau menjalankan pembalasan politik.

Sebaliknya, ia perlu dilakukan bagi memastikan kelemahan dan kesilapan lampau tidak berulang, selain memperkukuh Tabung Haji sebagai institusi penting umat Islam untuk generasi akan datang.

“Pendedahan laporan RCI bukan bertujuan membuka luka lama, sebaliknya memastikan kelemahan lampau tidak berulang dan institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam ini terus diperkukuh,” tegas Zamir lagi.

BACA JUGA Hamzah sedih, BN tolak mentah-mentah cadangan beliau