Tok Min serahkan kepada pengundi, yakin sokongan Melayu di Negeri Sembilan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun percaya sentimen pengundi Melayu di Johor tidak mencerminkan keseluruhan pendirian pengundi di Negeri Sembilan.

Beliau yakin masyarakat Melayu di Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Itu KJ cakap di Johor. Suruh dia berkempen lebih kuat di Negeri Sembilan. Kita tunggu sahaja keputusan yang akan datang. Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat.

“Jangan samakan orang Johor dengan orang Negeri Sembilan. Mereka mempunyai pilihan masing-masing. Saya berharap masyarakat Melayu tahu membuat pilihan dalam perkara ini.

“Saya serahkan kepada pengundi-pengundi Melayu untuk menentukan dan saya masih yakin mereka akan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat hari ini.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semasa program ramah mesra di Lenggeng mendakwa, beliau mendapat angka daripada kajian yang dijalankan mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Dakwanya, kajian itu mendapati calon-calon PH tidak mendapat 10 peratus undi orang Melayu.

Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun tidak menyatakan sumber kajian berkenaan.