Pas kini tak lagi bercakap tentang Islam, sibuk main politik kaum
Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam bahawa Melayu hanya ada Tanah Melayu, menunjukkan wajah sebenar Pas yang tidak lagi bercakap tentang Islam, sebaliknya berpolitik atas nama perkauman yang bersifat asabiyyah.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, suatu ketika dahulu, Pas di bawah teraju Almarhum Fadzil Noor sering membaca hadith tentang sifat assabiyyah yang dilarang dalam Islam bagi menyeru rakyat menentang Umno.
Tetapi sekarang katanya, Pas berubah wajah hanya kerana apa yang dikatakan sebagai kemaruk kuasa dan tidak lagi menentang Umno seperti kepimpinan terdahulu.
“Seruan Pas kini bukan lagi hudud, tetapi kuasa Melayu. Bagi membangkitkan semangat Melayu ini, maka dituduhnya pemimpin Pakatan Harapan sebagai liberal dengan mengaitkan mereka dengan DAP.
“Sedangkan Pas hari ini tidur sebantal dengan MCA dan Gerakan yang juga sama dengan DAP.
“Siapa MCA dan Gerakan dalam isu berkaitan Islam? MCA pernah mengadakan himpunan menolak hudud dan Gerakan pernah memfailkan saman mencabar hudud.
“Dengan mengatakan bahawa Tanah Melayu untuk orang Melayu sahaja seolah-olah menidakkan keberadaan kaum lain di Malaysia, maka Sanusi harus jelaskan di manakah kedudukan MCA dan Gerakan di dalam pakatan yang disertai Pas sama ada Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak pernah menggadaikan prinsipnya dalam membela Melayu dan mengangkat martabat Islam.
Namun, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama di mana keharmonian kaum hendaklah dipelihara dengan baik.
“Isu ekonomi bukanlah isu kaum, tetapi isu rakyat yang perlu diuruskan dengan baik bagi menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera.
“Justeru, Sanusia sepatutnya bertanya kepada Umno, setelah 60 tahun memerintah, mengapa peratus pegangan ekonomi orang Melayu masih lemah yang didakwanya sekitar 18%?,” tambahnya lagi.