Zaman dah berubah, jual kaum dah tak laku – Abang Jo

Politik yang bersandarkan kaum dan agama tidak lagi sesuai diamalkan dalam era digital apabila rakyat kini lebih mementingkan pembangunan, peluang ekonomi dan kualiti hidup berbanding retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

Menyuarakan pendirian itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg berkata, majoriti rakyat hari ini mahukan kerajaan yang mampu membawa kemajuan dan meningkatkan taraf hidup mereka, bukannya terus memainkan sentimen perkauman.

“Majoriti rakyat mahukan pembangunan dan kehidupan lebih baik, bukan lagi politik perkauman.

“Dalam era digital hari ini, yang penting ialah kebijaksanaan, ilmu dan kemampuan, bukannya kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Sibu, hari ini.

Menurutnya, kepimpinan masa depan perlu berasaskan ilmu, keupayaan dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Beliau berkata, pengalaman kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mentadbir negeri membuktikan pendekatan inklusif yang diamalkan mampu membawa manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Sebagai contoh, katanya, pelantikan anak Sarawak daripada pelbagai kaum menerajui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan beberapa agensi kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan serta merit, bukannya kaum.

“Kita memilih mereka kerana kemampuan, bukan kerana bangsa atau agama,” katanya.

Abang Johari berkata, sepanjang enam tahun pentadbiran GPS, pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan jambatan, jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan pembangunan, bukannya sekadar membuat janji politik.

Beliau turut mengingatkan bahawa PBB perlu terus melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan agenda mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping memastikan negeri itu berada di landasan mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030.

Kenyataan beliau hadir ketika isu politik berasaskan kaum dan agama kembali menjadi perhatian susulan beberapa polemik yang timbul sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan pelbagai pihak menggesa parti politik kembali bersaing melalui dasar, prestasi dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya memainkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

BACA JUGA ‘Bila dah tak ada modal, kaum pula dijual’ – PH seru kempen PRN berasaskan fakta