‘Undi anda amanah besar’ – Anwar rayu anggota ATM, PDRM sokong calon PH
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengundi awal agar terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan hala tuju pentadbiran negeri, malah menjadi amanah kepada kerajaan untuk terus memperkukuh kebajikan anggota keselamatan dan keluarga mereka.
“Dengan penuh rendah diri, saya merayu kepada rakan-rakan serta keluarga dari Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal untuk terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon HARAPAN.
“Setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan hala tuju negeri, sebaliknya menjadi amanah yang perlu kami galas untuk terus memperkukuh kebajikan anggota keselamatan serta keluarga mereka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, beliau menyedari masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan tidak pernah menganggap segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan setakat ini sudah memadai.
Menurutnya, mandat berterusan daripada rakyat akan membolehkan kerajaan bekerja dengan lebih gigih demi meningkatkan kesejahteraan negara dan rakyat.
“Saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki, dan saya tidak pernah menganggap segala yang telah dilakukan itu sudah memadai.
“Namun, dengan sokongan dan mandat berterusan, Insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat demi mengangkat martabat negara, membela kebajikan rakyat serta memperkukuh kesejahteraan seluruh warga pasukan keselamatan,” katanya.
Beliau turut menutup rayuannya dengan menyerahkan segala usaha kepada Allah SWT.
“Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa, 28 Julai 2026. Hari pengundian biasa pula ialah Sabtu, 1 Ogos 2026.
BACA JUGA Zaman dah berubah, jual kaum dah tak laku – Abang Jo