Anwar: Malaysia sedia sambut Formula 1 di Sepang bersama Bahrain 

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus menandakan kepulangan perlumbaan Formula Satu (F1) ke negara ini menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Bahrain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.

Menurut beliau, Malaysia berbesar hati diberikan kepercayaan oleh Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menyokong penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota serta kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, kerjasama tersebut melangkaui penganjuran sebuah acara sukan bertaraf dunia, sebaliknya mencerminkan hubungan erat, kepercayaan dan kerjasama strategik yang terjalin antara Malaysia dan Bahrain.

Beliau berkata, penganjuran perlumbaan itu turut membuktikan kesiapsiagaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada acara antarabangsa berskala besar.

Menurutnya, Malaysia mempunyai infrastruktur bertaraf dunia, keupayaan operasi yang mantap serta layanan mesra yang mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pelumba, pasukan dan peminat Formula 1 dari seluruh dunia.

“Malaysia bersedia mengalu-alukan Formula 1, FIA, semua pasukan dan peminat dari seluruh dunia kembali ke Sepang.

“Kami berharap dapat mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra rakyat Malaysia, di samping mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya.

Kenyataan Anwar itu memberi isyarat bahawa Sepang sekali lagi bakal menjadi pentas perlumbaan Formula Satu selepas kali terakhir menganjurkan Grand Prix Malaysia pada 2017.

BACA JUGA ‘Undi anda amanah besar’ – Anwar rayu anggota ATM, PDRM sokong calon PH