‘Emas pertama milik Malaysia!’ Anwar ucap tahniah kepada Mohamad Aniq

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet negara, Mohamad Aniq, atas kejayaannya menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan negara, malah menjadi detik bersejarah yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tahniah Mohamad Aniq atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia di Glasgow.

“Seluruh negara berbangga dengan kejayaan saudara mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Beliau berharap kejayaan Mohamad Aniq menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet negara yang masih berjuang di temasya berkenaan.

Menurut Anwar, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh kepada kontinjen negara dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan.

“Semoga detik bermakna ini membakar semangat atlet kita di Sukan Komanwel Glasgow untuk terus memburu kejayaan dan membawa pulang lebih banyak pingat.

“Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan kalian,” katanya.

Pingat emas yang dimenangi Mohamad Aniq menjadi pencapaian pertama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow dan diharap mampu menyuntik motivasi kepada atlet lain untuk meneruskan momentum cemerlang negara sepanjang temasya berlangsung.

BACA JUGA ‘Undi anda amanah besar’ – Anwar rayu anggota ATM, PDRM sokong calon PH