‘Kalau tak salah, pertahankan’, PM serah laporan RCI TH untuk rakyat nilai

Perdana Menteri berharap mesyuarat Jemaah Menteri, 29 Julai ini akan membuat kata putus untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan kepada orang ramai untuk membaca laporan RCI TH itu jika ia didedahkan.

“Kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa.

“Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjara. Itu bukan urusan saya.

“Sistem kita menetapkan siasatan itu (dibuat oleh) badan siasatan, buat pertuduhan itu (oleh) Peguam Negara, hukum (dibuat) para hakim,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Harus jujur

Dalam masa sama, Anwar menegaskan, beliau sebagai Perdana Menteri juga harus jujur dalam perkara dilakukan serta segala proses yang dilaksanakan itu perlu mengikut proses Perlembagaan dan peraturan ditetapkan.

“Saya singgung (sentuh) hal (RCI TH) ini kerana negara bagi saya tidak mungkin pertahan keamanannya kalau orang diamanahkan itu mengkhianati amanah,” tegas Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, RCI TH ditubuhkan untuk menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020

Ia terutama perkara yang dibangkitkan melalui semakan perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger.

Antara tujuannya ialah menentukan sama ada wujud salah urus atau pelanggaran undang-undang,
penyembunyian fakta, penyampaian maklumat mengelirukan serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Isu menyelubungi TH sudah berlanjutan terlalu lama sejak zaman BN memerintah.

Kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) kemudiannya melakukan penambahbaikan sejak pemerintahan yang pertama hingga Kerajaan MADANI kini.

BACA JUGA ‘Kami sedar kami sedang berpura-pura’, Umno-Pas disindir berkubang di bendang