Pertemuan Anwar, Nik Omar dan Nik Abduh timbul spekulasi baru di Kelantan
Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dua anak bekas Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menimbulkan spekulasi baru bahawa salah seorang dari mereka akan dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan.
Yang paling jelas adalah cadangan agar bekas ahli parlimen Bachok yang diketepikan Pas, Nik Mohamad Abduh menjadi calon BN dan seterusnya calon MB Kelantan.
Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bertemu dengan Nik Abduh dan abangnya Nik Omar dalam kunjungan beliau ke Kelantan semalam.
Gambar tersebar pertemuan antara kedua-dua adik beradik itu bersama Anwar dengan kehadiran pendakwah bebas yang berasal dari Kelantan, Wan Ji Wan Husin.
“Saya tak pasti pertemuan itu diadakan di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa atau di Panji.
“Yang pasti Anwar bertemu mereka berdua dan saya tidak tolak ia bakal memberikan warna baharu dalam politik Kelantan,” kata bekas pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussein.
Poster Nik Abduh bakal menjadi calon MB Kelantan bagi pihak BN dan PH tersebar selepas pertemuan dengan PM Anwar semalam.
Bagi Anwar, beliau bertujuan menyatukan kembali hubungan antara Nik Omar yang bertanding atas tiket PKR dalam PRU 15 lalu dengan adiknya Nik Abduh.
Menurut Zainal, ura-ura Nik Abduh akan bertanding atas tiket Umno bertiup sejak pra PRU 15 lalu lagi.
Beliau dikatakan akan menjadi calon Umno dalam pilihan raya itu bersama dua lagi sahabatnya yang menyertai Umno iaitu Datuk Dr Khairudin Aman Razali dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Dr Khairudin bertanding atas tiket BN di Kuala Nerus manakala Che Lah bertanding di Tumpat. Namun kedua-duanya tewas dalam pertandingan itu.
BACA JUGA Keterujaan sambut Anwar beri harapan Pas tidak kebal di Kelantan
Â