‘Kalau yakin, kenapa padam?’ – Netizen persoal tindakan Ketua Penerangan Umno Rembau
Seorang pengguna media sosial(Netizen), Adam Yusuf, mempersoalkan tindakan Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Samsudin, yang didakwa memadam video ceramah mengandungi kenyataan mengaitkan Istana Negeri Sembilan dengan DAP.
Adam berkata, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kandungan video berkenaan serta dakwaan yang dibangkitkan.
Menurutnya, tindakan memadam video itu menimbulkan persoalan sama ada individu terbabit benar-benar yakin dengan kenyataan yang dibuat.
“Kalau benarlah anda yakin dengan kenyataan itu, kenapa video tersebut dipadam? Kenapa perlu delete? Apa yang menyebabkan kandungan itu ditarik balik?” katanya dalam satu rakaman video selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
Beliau berkata, jika dakwaan tersebut disokong dengan fakta, bukti sepatutnya dikemukakan kepada umum dan bukannya dipadam selepas mendapat perhatian ramai.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan. Jika kenyataan itu berasaskan fakta, jelaskan kepada umum. Serahkan bukti. Jika tidak, mengapa ia dimuat naik pada awalnya?” katanya.
Adam turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera bagi melindungi martabat institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang tohmahan atau eksploitasi politik.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata:
“Fitnah BN terhadap istana. Laporan polis telah dibuat. Semoga PDRM bertindak pantas melindungi kesucian institusi Raja-Raja Melayu.”
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak memainkan isu yang boleh disifatkan sebagai menderhaka kepada institusi diraja, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Terdahulu, Istana Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan rasmi menegaskan bahawa institusi diraja negeri itu kekal berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, selain menafikan sebarang dakwaan yang cuba mengaitkan Yang di-Pertuan Besar, kerabat diraja atau Istana Negeri Sembilan dengan mana-mana parti politik.
BACA JUGA