‘Saya dah cakap awal-awal tapi tak buat’– Akmal bidas kelewatan LRA Bukit Selambau

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir menepis dakwaan kononnya beliau sengaja mencari kesalahan apabila sekali lagi membangkitkan isu kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah.

Beliau meluahkan rasa kesal kerana baru sahaja beberapa bulan lepas beliau membangkitkan soal projek LRA Sungai Limau yang terbengkalai, tetapi kini satu lagi projek LRA iaitu LRA Bukit Selambau turut berdepan masalah sama.

Susulan itu, Akmal mengkritik kelewatan projek LRA Bukit Selambau dengan mendakwa ia berpunca daripada kecuaian pengurusan projek, walaupun amaran mengenai keperluan mendapatkan komponen mekanikal dan elektrikal (M&E) telah diberikan sejak dua tahun lalu.

“Dalam pengurusan projek, memang akan ada faktor yang menyebabkan projek lewat dan kenaikan kos dipertimbangkan khususnya perubahan skop dan penambahan kerja.

“Tetapi culas, cuai dan tak ambil serius kerja bukan termasuk salah satunya. Tambah lagi apabila saya dah sebut dua tahun lepas sewaktu di PETRA yang barang komponen Mechanical & Electrical (M&E) perlu diutamakan dan order segera. 

“Saya dah cakap awal-awal tapi tak buat, sekarang dah ada masalah berani pula nak minta tambahan kos dari Kementerian Ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mempersoal, adilkah untuk segala beban ini ditanggung oleh rakyat sedangkan amaran telah diberikan lebih awal sebekum ini.

“Adilkah buat kami, amaran yang dah diberi bertahun lepas, kini berlaku dan beban itu nak diletak ke atas saya ?

“Adilkah juga buat pembayar cukai, masih banyak projek pembangunan yang perlu didahulukan, termasuk projek lewat lain yang genuine? Harapan saya supaya penilaian yang jujur dibuat ke atas usaha ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, beliau turut membangkitkan isu projek LRA Sungai Limau yang didakwanya terbengkalai, sebelum kini mendedahkan satu lagi projek LRA di Kedah, iaitu LRA Bukit Selambau, yang menurutnya turut berdepan masalah.

BACA JUGA ‘Jangan biar fitnah kalahkan perpaduan’ – Pesanan Anwar kepada warga ATM