F1 kembali ke Sepang, anak muda luah bangga Malaysia jadi perhatian dunia

Gelombang rasa bangga menjadi rakyat Malaysia mula mencuri perhatian di media sosial selepas perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) akhirnya kembali semula ke Malaysia setelah sembilan tahun.

Peminat sukan permotoran empat roda itu terutama anak muda meluahkan rasa bangga kerana negara semakin menjadi perhatian masyarakat antarabangsa. 

Litar Antarabangsa Sepang, kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 adalah pada 2017. Menariknya, Bahrain akan menanggung kesemua kos penganjuran.

Di platform Threads, satu hantaran yang meraih hampir 40,000 tanda suka, dihujani ratusan komen yang menyifatkan Malaysia kini seolah-olah menjadi “watak utama” atau main character dalam pelbagai perkembangan dunia.

“I’m starting to agree that Malaysia is the main character in this world hahahaha,” tulis seorang pengguna.

Hantaran itu kemudian dihujani komen daripada anak muda yang senada dengan pendapat tersebut dan menyenaraikan banyak lagi sebab yang menjadikan Malaysia sentiasa dicemburui negara jiran tetangga.

Seorang pengguna _ehanna berseloroh; “Malaysia ni tak nak pun jadi famous, tapi famous cari Malaysia.”

Seorang lagi pengguna pula berpendapat kedudukan strategik Malaysia sejak dahulu lagi menjadikan negara ini sentiasa mempunyai peranan penting di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Selat Melaka yang menjadi antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia.

Selain isu F1, mereka menyenaraikan 3 kejayaan lain yang sedang viral ketika ini dan mengangkat nama Malaysia di mata dunia termasuklah pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin, yang menyaksikan beberapa kenyataan kerajaan mendapat liputan meluas media asing.

1) Perdana Menteri Malaysia tegas mengusir warga Israel yg mempunyai dua passport Israel/Amerika sehinggakan anggota kongres Amerika mengancam hubungan dengan Malaysia. 

2) F1 kembali ke Circuit Sepang Malaysia. 

3) Kejayaan atlet Muay Thai negara, Aliff Rakif muncul juara dunia ONE Championship

Perkembangan itu turut dikaitkan dengan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab ekonomi, teknologi dan sukan serantau.

“Baru tendang Network School, masuk plak F1. Hari-hari dunia cakap pasal Malaysia,” kata pengguna Threads.

“Ye doh. Ni sekarang tengah jadi tumpuan untuk F1 kat sepang,” kata yang lain.