RENCANA | Sanusi: Naratif yang khilaf sejarah

OLEH TIAN CHUA

Ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bermasalah bukan kerana ada kemungkinan dianggap menghina warga negara Malaysia keturunan Tionghua atau India. Masalah yang lebih serius berpunca dari kekhilafan memahami sejarah dan identiti Melayu itu sendiri.

Saya tidak berhasrat melabel ucapan Sanusi sebagai rasis. Pidato beliau diucap di pentas pilihan raya, ketika tokoh-tokoh politik lazimnya menggunakan bahasa yang keras dan seruan emosi untuk menggerakkan penyokong. Seorang ahli politisi bergaya pembakar semangat seperti Sanusi terkenal dengan retorika sedemikian, dan sensasi sememangnya sesuatu yang dijangka dalam kempen politiknya.

Mari kita meneliti kata-kata persisnya:

“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Sekilas, ini kedengaran seperti logikal dan mudah menyentuh sentimen. Ia direka untuk membangkitkan rasa terancam dan keterdesakan di kalangan orang Melayu dengan menyiratkan bahawa mereka harus mempertahankan satu-satunya tanah air mereka.

Tujuan Menteri Besar Kedah itu jelas, yaitu menyatukan pegundi Melayu dengan membingkai hak mereka sebagai terikat secara eksklusif pada satu tanah air yang tunggal dan tidak terganti. Tak diragukan lagi bahawa hujah simplitik dan kegairahan emosi adalah alat yang paling berkesan untuk merangsangkan sokongan.

Namun begitu, premis yang menjadi asas hujah beliau sebenarnya salah dari sudut sejarah bukan kerana ia menyinggung perasaan, tetapi kerana ia memesongkan realiti sejarah dan antropologi.

Mencerahkan takrif Melayu

Dari perspektif perundangan, orang Melayu diiktiraf sebagai penduduk pribumi utama di Semenanjung Melaysia, dengan takrif khas dalam Perlembagaan yang dikaitkan dengan bahasa, budaya, agama Islam dan amalan adat. 

Dari segi sejarah, orang Melayu telah berakar umbi di Malaysia dan di seluruh Alam Melayu jauh sebelum kedatangan kuasa penjajah Eropah. Memanggil nama Tanah Melayu untuk tanah ini pada asasnya hanyalah soal semantik; mengiktiraf hakikat sejarah tersebut sepatutnya bukan menjadi sebarang kontroversi.

Namun demikian, mengiktiraf hubungan sejarah dan budaya antara orang Melayu dengan Tanah Melayu tidak bermakna Malaysia sebagai sebuah negara bangsa moden adalah milik eksklusif satu kelompok etnik sahaja. 

Persekutuan Malaysia ditubuhkan melalui perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya dan Borneo, yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum.

Kewarganegaraan dalam persekutuan berdasarkan kesetiaan kepada Perlembagaan. Semua warganegara yang menjadikan negara ini rumah mereka adalah sebahagian daripada kisah kebangsaan yang dikongsi bersama.

Inilah sebabnya kenyataan Sanusi dianggap provokatif: ia berisiko menimbulkan tanggapan bahawa sesetengah rakyat mempunyai kelayakan kenegaraan yang kurang sah berbanding yang lain.

Saya tidak fikir Sanusi semestinya berniat menafikan kewarganegaraan orang bukan Melayu atau mempersoalkan kesetiaan mereka. Sebaliknya, strategi beliau ialah membangkitkan emosi dengan mendakwa bahawa orang Melayu tidak mempunyai tanah air selain Tanah Melayu. 

Namun logik inilah yang menjadi berbahaya apabila ia menyerupai naratif ala- Zionis aitu tanggapan bahawa satu kumpulan etnik mempunyai hak eksklusif dan abad terhadap sesuatu wilayah, sambil mengabaikan perubahan demografi dan politik yang telah berlaku selama berabad-abad.

Andaian silap: “Satu bangsa, satu tanah air”

Masalah utama hujah ini ialah ia bergantung kepada kefahaman yang terlalu simplistik dan naif tentang evolusi sejarah negara dan masyarakat.

Aspek paling bermasalah dalam naratif Sanusi ialah andaian bahawa setiap kelompok etnik secara semula jadi bersamaan dengan satu negara bangsa moden: Orang Cina ada China. Orang India ada India. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand.

Ia kedengaran masuk akal, tetapi tidak mencerminkan realiti sejarah. Negara bangsa moden ialah ciptaan politik yang dibentuk oleh proses penghijrahan, pembinaan empayar, sempadan kolonial dan perkembangan sosioekonomi selama berabad-abad. 

Ia tidak pernah sepadan secara tepat dengan kumpulan etnik atau budaya. China secara rasmi mengiktiraf dirinya sebagai negara berbilang etnik yang terdiri daripada lebih 50 kaum yang berbeza. India pula merupakan antara negara yang paling pelbagai dari segi budaya dan bahasa di dunia. 

Kemboja didiami oleh majoriti Khmer, tetapi komuniti Khmer sejak dahulu lagi tersebar hingga ke wilayah yang kini menjadi Thailand, Vietnam, Myanmar dan Laos. Bangsa Tai pula pernah mendirikan pelbagai kerajaan di tanah besar. Asia Tenggara yang kemudiannya menjadi negara moden Thailand (dahulunya Siam) dan Laos.

Malah istilah “India” sendiri tidak sesuai dengan rumusan Sanusi. Dalam konteks Malaysia, masyarakat India terdiri daripada pelbagai komuniti yang berasal dari bahagian-bahagian berbeza di benua kecil Asia Selatan, termasuk wilayah yang kini berada dalam sempadan India, Pakistan dan Sri Lanka.

Oleh itu, ide bahawa setiap bangsa mempunyai tanah air yang khusus bukan sahaja tidak tepat dari segi sejarah, malah tidak dapat dipertahankan dari sudut realiti. 

Alam Melayu lebih luas dari Tanah Melayu

Kekhilafan logika ini, jika tidak diperbetulkan, hanya mengekalkan kejahilan terhadap sejarah Melayu. Hakikatnya, identiti Melayu tidak pernah terbatas kepada sempadan moden Malaysia.

Sepanjang sejarah, tamadun Melayu berkembang merentasi rantau maritim luas yang kini dikenali sebagai Kepulauan Melayu atau Nusantara. Leluhur orang Melayu membina pelbagai kerajaan dan empayar besar Srivijaya, Langkasuka, Melaka, Brunei, Jambi-Riau dan pelbagai kesultanan Melayu yang wilayahnya jauh melampaui Malaysia hari ini.

Warisan tamadun-tamadun ini meletakkan asas kepada pembentukan beberapa negara moden termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina serta sebahagian tanah besar Asia Tenggara. Dengan kata lain, tanah air orang Melayu sebenarnya jauh lebih luas daripada Tanah Melayu. Pemecahan Alam Melayu kepada entiti politik yang berasingan adalah diakibat oleh kolonialisme Eropah, bukannya takdir hakiki sesuatu etnik.

Oleh itu, jika sejarah dijadikan asas identiti, maka sejarah Melayu sendiri menunjukkan bahawa tanah air orang Melayu jauh lebih luas daripada Tanah Melayu semata-mata.

Hubungan dengan warisan Austronesia

Perspektif sejarah yang lebih luas mendedahkan satu kisah yang lebih menarik. Orang Melayu adalah sebahagian daripada keluarga besar Austronesia, sebuah komuniti bahasa dan budaya yang luas dengan asal usul yang merentasi ribuan tahun.

Bangsa-bangsa penutur bahasa Austronesia telah mencapai antara penghijrahan maritim terbesar dalam sejarah manusia. Selama sekurang-kurangnya 5,000 tahun, pelayar Austronesia meneroka dan menghuni kawasan yang melintasi lebih separuh lilitan bumi, meliputi kira-kira 120 juta kilometer persegi atau sekitar 30 peratus permukaan lautan bumi.

Mereka bukan sekadar meneroka penempatan baharu, malah membina rangkaian perdagangan yang luas, menyebarkan teknologi pertanian dan pelayaran serta memupuk pelbagai budaya yang dinamik. 

Jangkauan pengaruh mereka membentang dari Taiwan di utara hingga New Zealand di selatan, dari Madagaskar di barat hingga ke Hawaii dan Pulau Easter di timur. Sebagai perbandingan, keluasan kawasan ini melebihi keseluruhan daratan Asia dan Afrika jika digabungkan. 

Dari saiz keluasan tanah yang didiami pula, ia dianggarkan bersamaan dengan keluasan India. Tiada tamadun purba lain yang mencapai keluasan geografi sedemikian.

Orang Melayu di Tanah Melayu adalah pewaris kepada tamadun yang luar biasa ini. Ia merupakan sejarah penerokaan, perdagangan dan pertukaran budaya. Para perintis Austronesia mewujudkan dunia kosmopolitan yang dicirikan oleh kepelbagaian, bukannya kepincangan. 

Tamadun Melayu ialah sebahagian dari warisan terbilang ini. Orang Melayu sepatutnya berbangga dengan pencapaian luar biasa ini, bukan menanam benih ketakutan dan menyempitkan wawasan bangsa.

Menggambarkan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak memilik mana-mana tempat lain dan hidup dalam keadaan isolasi, sebenarnya memadam pencapaian unggul ini.

Sejarah menyampaikan inspirasi yang jauh lebih menggalakkan: orang Melayu tergolong dalam tamadun besar dengan akar sejarah yang mendalam, jaringan hubungan yang luas dan tradisi yang gemilang.

Masa depan dibina atas keyakinan, bukan permusuhan

Sama ada kita menyebutnya Tanah Melayu atau sebaliknya, tanah ini telah dibentuk oleh pelbagai lapisan sejarah dan masyarakat. Ia ialah sebuah negara yang kaya sumber dan akan berkembang maju apabila merangkumi kepelbagaian serta keterangkuman. 

Adalah tidak wajar ahli politik sentiasa meniupkan perasaan takut dan permusuhan dalam persaingan untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.

Adalah sia-sia bagi rakyat Malaysia dari latar belakang etnik yang berbeza bertelagah tentang siapa yang harus tergolong di sini. Pembinaan negara yang berjaya memerlukan semua warganegara memahami tanggungjawab bersama terhadap masa depan.

Warisan Melayu wajar dibanggakan dan menerima pengiktirafan. Namun kebanggaan sejati tidak memerlukan ketakutan dan permusuhan terhadap orang lain. Tamadun yang yakin dengan takdirnya sendiri tidak perlu mentakrifkan dirinya melalui penolakan pihak lain.

Dengan sejarah yang begitu kaya dan cemerlang di belakang kita, kita seharusnya memandang ke hadapan untuk membina sebuah negara hebat, di mana setiap rakyat, tanpa mengira asal usul, boleh menganggapnya sebagai tanah air kita. Itulah semangat sebenar negara kita, yang berakar dalam sejarah Tanah Melayu.

BACA JUGA Aminuddin sekolahkan Chegubard tak buat kajian sebelum serang, keliru projek pelabuhan di PD dan Melaka