Apa bukti Melayu, Islam terancam? PH jawab fitnah dengan fakta bonus tiga bulan, masjid dapat hampir RM90 juta

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyelar tindakan pihak tertentu yang terus-menerus memperdagangkan sentimen Melayu dan Islam demi meraih undi.

Walhal, tegas PH, rekod pentadbiran negeri menunjukkan kebajikan masyarakat Melayu serta institusi Islam terus diperkasakan melalui dasar dan peruntukan nyata.

Calon PH bagi DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad; calon DUN Ampangan, Nazri Kassim; dan calon DUN Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan prestasi, bukannya pentas menakut-nakutkan rakyat menggunakan dakwaan tanpa bukti.

Mereka berkata, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, terdapat pihak yang membawa naratif kononnya kedudukan orang Melayu dan Islam akan terancam jika PH terus diberikan mandat.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Melayu dan Islam semakin terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, maka rakyat berhak bertanya satu soalan yang mudah — di manakah buktinya?” kata mereka dalam sidang media hari ini.

Dari kiri: Calon PH bagi DUN Ampangan, Nazri Kassim; Nor Azman Mohamad (Sikamat) dan Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah (Paroi).

Menurut mereka, naratif tersebut bukan sahaja tidak matang dan tidak bertanggungjawab, malah boleh mengundang kebimbangan, syak wasangka serta ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk yang selama ini hidup aman di Negeri Sembilan.

Lebih mengecewakan, katanya, isu berkenaan turut dimainkan oleh pihak luar yang tidak memahami keunikan Adat Perpatih serta keharmonian sosial di negeri itu.

Hampir tujuh tahun, Melayu dibela

Mereka berkata, sepanjang hampir tujuh tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang mesra dipanggil Tok Min, pentadbiran negeri telah membuktikan bahawa pembelaan terhadap masyarakat Melayu bukan sekadar slogan pilihan raya.

Sebaliknya, ia diterjemahkan melalui pengurusan kewangan yang berhemah, peningkatan pendapatan, bantuan pendidikan dan peluang ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurut mereka, lebih 90 peratus penjawat awam Negeri Sembilan terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.

Hasil prestasi kewangan negeri dan pencapaian syarikat berkaitan kerajaan negeri, penjawat awam menikmati bonus sehingga tiga bulan gaji serta kenaikan gaji sebanyak 15 peratus.

“Ini bukan retorik. Ini manfaat sebenar hasil pentadbiran yang cekap,” katanya.

Ketiga-tiga calon PH berkenaan berkata, pencapaian tersebut membuktikan kerajaan negeri mampu menjaga kebajikan penjawat awam tanpa perlu menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal politik.

Ribuan anak Melayu nikmati bantuan pendidikan

Dalam bidang pendidikan, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak Negeri Sembilan tidak tercicir daripada arus persekolahan dan pengajian tinggi.

Antaranya, termasuk bantuan menerusi Inisiatif Anak Sekolah, Anak Negeri dan pelbagai skim di bawah Yayasan Negeri Sembilan.

Menurut mereka, ribuan pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan dan majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.

“Hal ini menunjukkan bahawa membela masyarakat Melayu bukan sekadar slogan ketika pilihan raya, tetapi diterjemahkan melalui dasar dan bantuan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

PH Negeri Sembilan berkata, kekuatan orang Melayu tidak boleh dibina hanya melalui ucapan berapi-api, sebaliknya memerlukan akses kepada pendidikan berkualiti, pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi serta peluang perniagaan yang luas.

Hampir RM90 juta bina, naik taraf masjid

Dalam usaha memperkasakan Islam, mereka berkata, rekod kerajaan negeri juga jelas dan boleh dinilai melalui pelaksanaan projek sebenar.

Kerajaan negeri telah menaik taraf Kompleks Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Gemencheh dengan kos RM14 juta pada 2020 bagi memperkukuh pendidikan agama.

Selain itu, sebanyak 10 masjid baharu sedang dan telah dibina dengan nilai keseluruhan hampir RM90 juta.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah. Ia merupakan pusat pembangunan ummah, pusat ilmu, pusat perpaduan dan pusat kebajikan masyarakat.

“Pelaburan besar ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja mempertahankan syiar Islam, malah terus memperkasakannya,” kata mereka.

Menurut mereka, pendekatan PH adalah membela Melayu melalui dasar, memartabatkan Islam melalui tindakan dan membangunkan negeri dengan hasil yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

Untuk rekod, hari ini berlangsungnya pengundian awal melibatkan 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis.

Seramai 867,151 orang pengundi biasa pula akan membuang undi pada Sabtu, 1 Ogos ini.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga calon PH itu menegaskan, masyarakat Melayu Islam akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan lebih baik, pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih tinggi dan akses lebih luas kepada peluang ekonomi.

Pada masa sama, institusi Islam perlu diperkukuh melalui peruntukan serta dasar yang konsisten, bukannya sekadar dijadikan bahan ceramah menjelang pilihan raya.

“Kami tidak percaya bahawa Melayu akan menjadi kuat hanya dengan slogan.

“Kami percaya orang Melayu Islam Negeri Sembilan akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan peluang perniagaan yang lebih luas,” katanya.

Mereka berkata, perjuangan tersebut telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin.

Jangan pilih berdasarkan ketakutan

Dalam masa sama, PH Negeri Sembilan menyeru rakyat supaya menolak politik yang memainkan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk meraih sokongan.

Pengundi, sebaliknya diminta menilai kerajaan berdasarkan rekod, fakta, peruntukan dan manfaat yang telah dinikmati sepanjang tujuh tahun lalu.

“Nilailah berdasarkan rekod. Nilailah berdasarkan fakta. Nilailah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh tahun yang lalu.

“Sekiranya sebuah kerajaan benar-benar membela Melayu dan memartabatkan Islam, sudah tentu ia dapat dibuktikan melalui dasar, peruntukan, pembangunan dan manfaat yang dinikmati rakyat,” katanya.

Menurut mereka, semua ukuran itu telah dibuktikan oleh pentadbiran PH di Negeri Sembilan.

Keluar mengundi 1 Ogos

Dalam pada itu, mereka menyeru semua pengundi yang layak supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu, 1 Ogos 2026.

Rakyat diminta memberikan mandat kepada calon PH bagi meneruskan pentadbiran yang stabil, berintegriti dan mengutamakan kebajikan.

“Berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat serta menjayakan manifesto yang telah dibentangkan demi masa depan Negeri Sembilan.

“Ayuh kita pertahankan kestabilan. Ayuh kita teruskan kemajuan. Ayuh kita kekalkan harapan,” kata mereka sambil menyeru, “Kekal Harapan, Kekal Stabil, Negeri Sembilan Maju 2045 — Nismilan elok dah, kekal Tok Min.”

BACA JUGA Hak Melayu dan Islam terus diperkasa, Profesor G70 bentang 5 sebab rakyat Negeri Sembilan perlu kekalkan PH