MB Kedah, pemimpin Umno Rembau bakal menghadap polis

Siasatan polis sedang dilaksanakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu di Jempol pada 23 Julai lalu.

Dalam masa sama, polis akan memanggil Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Shamsuddin susulan tuduhan kononnya istana, negeri dan Menteri Besar “habis dipegang oleh DAP”.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu telah menerima keseluruhan 53 laporan polis sejak 18 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, sebanyak 11 daripada 16 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka berkaitan kenyataan Shukri.

Menurutnya, saksi-saksi berkaitan telah diambil keterangan manakala Shukri akan dipanggil dalam masa terdekat bagi meneruskan siasatan lanjut.

“Selain itu, dua laporan polis turut diterima berhubung kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan siasatan sedang dijalankan,” katanya di Nilai hari ini.

Alzafny berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang mempunyai 473 pegawai dan anggota yang layak mengundi pada PRN kali ini.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BACA JUGA Apa bukti Melayu, Islam terancam? PH jawab fitnah dengan fakta bonus tiga bulan, masjid dapat hampir RM90 juta