Bangladesh hadapi masalah bekalan gas, PM Tarique mohon bantuan Malaysia
Bangladesh memohon bantuan Malaysia bagi menangani kekangan bekalan gas yang sedang dihadapi negara itu, termasuk menerusi kemungkinan kerjasama dengan Petronas untuk membekalkan gas asli cecair (LNG).
Perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, hari ini.
Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Bangladesh, terutama dalam sektor tenaga dan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah cabaran bekalan gas yang sedang dihadapi Bangladesh terkait kekangan bekalan.
“Justeru, beliau memohon bantuan Malaysia termasuk melalui kerjasama dengan Petronas bagi membekalkan LNG untuk membantu memenuhi keperluan mendesak negara itu,” katanya, menerusi perkongsian di media sosial rasmi beliau sebentar tadi.
Selain isu bekalan gas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbualan mereka turut memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan perkembangan pelaburan syarikat Malaysia di Bangladesh.
Antaranya, termasuk kemajuan pelaburan melibatkan Axiata serta potensi kerjasama strategik bersama MMC Port bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.
Anwar menegaskan Malaysia akan terus komited mempererat hubungan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Bangladesh.
Kata Perdana Menteri lagi, hubungan itu akan terus dibina berteraskan semangat saling menghormati, kerjasama pragmatik serta iltizam untuk membawa manfaat nyata kepada rakyat Malaysia dan Bangladesh.
Untuk rekod, hubungan perdagangan Malaysia–Bangladesh kukuh dan saling melengkapi.
Malaysia membekalkan tenaga, minyak sawit dan bahan input industri, manakala Bangladesh menjual barangan pembuatan berintensif buruh seperti pakaian, tekstil dan kasut.
Tahun lalu, Bangladesh merupakan rakan dagang Malaysia ke-28 dunia serta rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan selepas India.
Daripada keseluruhan perdagangan, kira-kira 82.8 peratus merupakan eksport Malaysia dan 17.2 peratus ialah import dari Bangladesh.
BACA JUGA MB Kedah, pemimpin Umno Rembau bakal menghadap polis