RM200 sebulan, laptop percuma… Pensyarah UUM kata pengundi muda jangan lupa rekod Tok Min

Pengundi muda dan pengundi kali pertama di Negeri Sembilan disaran membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran, bukannya sekadar slogan kempen, dengan menilai sendiri manfaat yang telah diterima sepanjang pentadbiran kerajaan negeri.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman berkata, rekod pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun(Tok Min) menunjukkan komitmen yang konsisten terhadap pembangunan modal insan, khususnya golongan belia dan mahasiswa.

Memetik laporan Malaysia Gazzete, beliau berkata jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, lebih banyak inisiatif untuk golongan muda dijangka dapat diteruskan dan diperkasakan.

Beliau berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk Bantuan Sara Hidup Dermasiswa Mahasiswa Anak Negeri Sembilan sebanyak RM200 sebulan, pemberian komputer riba percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 yang layak serta pelbagai program meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Pemerhatian awal menunjukkan bahawa naratif yang dibawa oleh PH dalam kempen ini memberi penekanan kepada rekod pentadbiran, khususnya bantuan kepada mahasiswa, golongan B40 dan pembangunan modal insan.

“Pendekatan ini menyasarkan pengundi muda yang melihat pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan sebagai isu utama,” katanya.

Ahmad Fadly berkata, sekiranya bantuan seperti dermasiswa, komputer riba dan program kebolehpasaran graduan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, ia wajar dijadikan antara ukuran dalam menilai prestasi kerajaan semasa.

“Sekiranya inisiatif seperti dermasiswa, komputer riba dan program kebolehpasaran graduan benar-benar memberi manfaat, ia merupakan aspek yang boleh dinilai sebagai sebahagian daripada prestasi kerajaan semasa,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tiada mana-mana gabungan politik yang sempurna kerana setiap parti mempunyai kekuatan, kelemahan dan rekod tersendiri.

Justeru, katanya, pengundi perlu membuat pertimbangan berdasarkan beberapa persoalan penting sebelum membuat keputusan di peti undi.

“Apakah janji yang ditawarkan realistik dan mampu dilaksanakan?

“Apakah rekod pencapaian calon dan parti di kawasan masing-masing?

“Siapakah yang lebih berupaya menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan negeri?

“Adakah calon mempunyai integriti, kemampuan dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat?” soalnya.

Menurut Ahmad Fadly, demokrasi yang matang bukan sekadar memilih berdasarkan retorik atau slogan, sebaliknya memerlukan penilaian terhadap prestasi, dasar, manifesto dan keupayaan calon membawa manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat dan pertimbangan yang teliti akan menentukan hala tuju Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang.

BACA JUGA ANALISIS | Lahir selepas 1MDB? Ini sebab pengundi muda wajib kenal rekod Umno-BN