Menteri Agama sambut baik pendedahan laporan RCI TH, bukti komitmen kerajaan terhadap ketelusan
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai manifestasi komitmen berterusan kerajaan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, selama lebih enam dekad TH telah memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan serta urusan haji jutaan jemaah Malaysia.
Justeru beliau menyeru supaya dapatan dan laporan RCI ini dapat dilihat secara positif sebagai peluang berharga untuk memperkukuh kedudukan institusi TH.
“TH telah dan sedang melaksanakan syor-syor penambahbaikan RCI secara teratur demi memelihara kepentingan pendeposit, pematuhan syariah, serta kelestarian operasi.
“Seiring dengan pembaharuan ini, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh serta membuktikan pengurusan haji terbaik dunia menerusi kejayaan merangkul Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli percaya, pelaksanaan syor RCI dan pencapaian cemerlang ini akan menjadi pemangkin untuk TH terus mencipta kecemerlangan, memacu inovasi perkhidmatan, dan memberikan nilai pulangan yang optimum kepada para pendeposit.
Sehubungan itu kata beliau, seluruh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan sokongan padu bagi memastikan TH kekal mampan, sentiasa diyakini oleh umat Islam, serta berterusan menjadi peneraju pengurusan haji negara.
BACA JUGA Syukur, minyak masak paket sekarang senang nak dapat