Orang muda jangan ditakutkan konon Melayu terancam, ini fakta sebenar di Parlimen

Golongan muda perlu dididik memahami bahawa kedudukan orang Melayu, Islam dan bahasa Melayu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, bukannya terus ditakutkan dengan propaganda politik yang memecah-belahkan rakyat.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hasbie Muda berkata, ahli politik bertanggungjawab mencerdikkan masyarakat dengan fakta dan kefahaman perlembagaan, bukan memperbodohkan rakyat menggunakan sentimen kaum serta agama.

“Formula untuk menyatukan rakyat bagi saya ialah ahli-ahli politik mesti mencerdikkan rakyat.

“Kita tidak boleh berpolitik dengan membodohkan rakyat, membawa modal yang memecahkan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara semalam.

Dua lagi panelis adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurut Hasbie, orang muda perlu diberitahu bahawa perlindungan tertinggi terhadap kedudukan orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk Perkara 153 yang memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Perlindungan itu, katanya, merangkumi pelbagai perkara termasuk jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, permit dan lesen.

“Yang melindungi orang Melayu ialah Perlembagaan — paling tinggi,” tegasnya.

Dua pertiga

Hasbie turut menjelaskan bahawa sebarang usaha meminda peruntukan tertentu dalam Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Rakyat atau 148 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Justeru, katanya, dakwaan bahawa parti tertentu mampu mengubah Perlembagaan sesuka hati tidak selari dengan realiti angka di Parlimen.

“DAP paling banyak pun 42 kerusi sahaja.

“Kita dalam AMANAH ini, perjuangan ‘Abata’ (agama, bangsa, tanah air) juga ada dalam jiwa kami. Takkan lapan Ahli Parlimen AMANAH biarkan.

“Ahli Parlimen Umno 26 orang, takkan biarkan yang 42 orang mahu pinda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan negara dibina dengan benteng yang kukuh dan tidak bergantung kepada pendirian sebuah parti politik semata-mata.

Menurutnya, institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, kepimpinan kerajaan dan struktur pentadbiran awam turut menjadi sebahagian daripada sistem yang memelihara kepentingan negara.

“Bukan sahaja Perlembagaan dijaga oleh Perdana Menteri dan menteri Melayu, tetapi yang paling penting Yang di-Pertuan Agong kita Melayu, Sultan-sultan, TYT Melayu.

“Sebanyak 40 daripada 44 pegawai kanan dalam perkhidmatan awam pun Melayu,” katanya.

Tidak pernah cabar

Dalam masa sama, Hasbie berkata, sepanjang kerjasama dalam kerajaan MADANI, DAP tidak pernah mempersoalkan Perkara 152 mengenai bahasa Melayu atau menyentuh Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, Perkara 3(1) yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan juga tidak pernah dicabar oleh parti itu.

“Perkara 152 berkenaan bahasa Melayu tidak pernah dipersoalkan oleh DAP. Perkara 153 tidak pernah disentuh oleh DAP.

“Soal Perkara 3(1), Islam sebagai agama rasmi, tidak pernah dicabar oleh DAP,” katanya.

Sehubungan itu, Hasbie mahu rakyat, khususnya pengundi muda, menilai politik berdasarkan fakta, struktur Perlembagaan dan matematik sebenar di Parlimen.

Hubungan PH-BN harmoni

Hasbie turut menyifatkan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lalu sebagai harmoni.

Namun, beliau mengakui ketegangan mula timbul selepas terdapat pemimpin DAP yang dilihat meraikan keputusan berkaitan kegagalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memperoleh pembebasan.

Hasbie berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan tindakan meraikan penderitaan seseorang yang sedang menjalani hukuman penjara dan masih menggunakan haknya untuk merayu.

“Orang itu sudah berada dalam Penjara Kajang. Hak dia untuk merayu. Tiba-tiba tidak diluluskan.

“Mengapa kita hendak meraikan orang yang menderita di dalam penjara?” soalnya.

Menurutnya, tindakan tersebut mungkin menjadi antara punca sebahagian pemimpin BN mengubah nada daripada mempertahankan perpaduan dalam Kerajaan MADANI kepada kembali menyerang rakan sendiri.

Justeru, beliau mengingatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya lebih sensitif terhadap batas dan ‘garis merah’ parti rakan-rakan.

“Saya rasa jalan terbaik, seluruh parti dalam Kerajaan Perpaduan mesti sensitif dengan garis merah dalam parti rakan-rakan kita,” katanya.

Bagi Hasbie, masa depan politik negara tidak boleh terus dibina melalui ketakutan palsu bahawa Melayu, Islam atau institusi diraja boleh dihapuskan dengan mudah.

Sebaliknya, orang muda perlu diperkasa dengan ilmu berkaitan Perlembagaan supaya mereka tidak terus menjadi mangsa kempen yang berbaur ancaman, kebencian dan perpecahan.

BACA JUGA Hak Melayu dan Islam terus diperkasa, Profesor G70 bentang 5 sebab rakyat Negeri Sembilan perlu kekalkan PH