Sambutan pengundi semakin positif, Bakri Sawit yakin raih sokongan di DUN Klawan

FOTO BERITA: Program Walkabout ziarah rumah ke rumah bersama calon Harapan N.04 Klawang, Tuan Hj Bakri Sawit di Kg Batu Serambai K. Klawang, Negeri Sembilan’. 29hb Julai 2026 (Rabu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN N.04 Klawang, Tuan Haji Bakri Sawit, melahirkan keyakinan bahawa sokongan pengundi terhadap beliau terus meningkat menjelang hari pengundian selepas mengadakan Program Ziarah Rumah ke Rumah menyantuni penduduk di Kampung Batu Serambai, Kuala Klawang, pada Rabu.

Menurut beliau, maklum balas yang diterima daripada penduduk sepanjang tempoh berkempen amat menggalakkan, termasuk di kawasan majoriti masyarakat Tionghoa yang disifatkannya memberi sokongan sehingga mencecah sekitar 90 peratus. “Sambutan daripada penghuni amat menggalakkan. Di beberapa kawasan, khususnya kawasan masyarakat Tionghoa, boleh dikatakan hampir 90 peratus memberikan sokongan kepada kita,” katanya ketika sidang media.

Beliau bagaimanapun mengakui masih perlu memperkukuhkan penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu, walaupun berdasarkan tinjauan di lapangan, sokongan yang diterima berada pada kadar sekitar 60 hingga 70 peratus. Bakri berkata, hasil gerak kerja di lapangan serta maklum balas melalui tinjauan yang dijalankan menunjukkan beliau telah memperoleh angka sokongan yang diperlukan, namun tidak mahu terlalu selesa.

“Alhamdulillah, angka yang diperlukan sudah kita peroleh, tetapi kita tidak boleh berpuas hati. Kita akan terus bekerja keras sehingga hari terakhir kempen,” katanya. Beliau menjelaskan pendekatan utama yang digunakan sepanjang kempen ialah ziarah dari rumah ke rumah, selain ceramah kelompok dan satu ceramah perdana yang dijadualkan berlangsung pada malam terakhir sebelum hari pengundian.

Mengulas mengenai cabaran menarik sokongan pengundi muda, Bakri berkata beliau memperkukuhkan pasukan kempen dengan melantik ejen pilihan raya daripada golongan muda sebagai pelapis kepimpinan.
“Saya percaya gabungan pengalaman orang lama dan tenaga anak muda dalam pasukan mampu memberikan impak yang positif kepada kempen kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru pengundi di DUN Klawang dan seluruh Negeri Sembilan agar terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan demi memastikan kerajaan negeri kekal sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, keselarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan serta manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. “Saya memohon kepada seluruh pengundi di Klawang supaya mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan.

Prestasi kerajaan negeri telah menunjukkan pencapaian yang baik dan kita menyasarkan pendapatan negeri mencecah RM1 bilion menjelang 2030. Insya-Allah, hasil itu akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan,” katanya.