Anthony Loke yakin kehadiran PM perkukuh sokongan, tegaskan peruntukan Orang Asli kekal terjamin

FOTO BERITA: Sidang Media oleh calon Harapan N.01 Chennah YB Anthony Loke selrpas Program Minum Petang bersama YAB Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan di Parkir Mr.D.A.Y Simpang Durian, Chennah Negeri Sembilan. 29hb Julai 2026 (Rabu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.01 Chennah, , berkata kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri, , pada Program Minum Petang bersama rakyat di Simpang Durian memberikan suntikan semangat kepada jentera kempen serta meningkatkan keyakinan pengundi menjelang hari pengundian. Menurut beliau, program yang berlangsung di Parkir Mr. D.A.Y, Simpang Durian itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang sehingga memenuhi ruang yang disediakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa hadir ke Simpang Durian. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat yang tinggi kepada seluruh jentera Pakatan Harapan dalam usaha mempertahankan sokongan rakyat di DUN Chennah,” katanya pada sidang media selepas program itu, Rabu.

Anthony berkata, penyertaan masyarakat Orang Asli dalam program berkenaan amat penting kerana mereka berpeluang mendengar sendiri penjelasan Perdana Menteri berhubung dakwaan bahawa peruntukan kepada kampung Orang Asli akan dihentikan sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya.

Beliau menegaskan dakwaan itu merupakan propaganda yang tidak berasas kerana peruntukan pembangunan dan kebajikan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut dasar serta undang-undang, bukannya berdasarkan keputusan pilihan raya.

“Perdana Menteri sendiri telah memberikan jaminan bahawa peruntukan kepada kampung Orang Asli tidak akan terjejas. Pakatan Harapan merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Kewangan juga ialah Perdana Menteri sendiri. Jadi tidak timbul soal peruntukan disekat,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan tersebut penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukannya dipengaruhi khabar angin atau ugutan politik. Anthony turut menegaskan bahawa kempen pilihan raya perlu berlangsung secara matang, berasaskan fakta dan kebenaran tanpa unsur menakut-nakutkan pengundi.

“Saya telah menyampaikan mesej ini sepanjang tempoh kempen bahawa tiada sesiapa boleh mengugut mana-mana pengundi. Pilihan raya mesti memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan secara bebas,” katanya. Beliau berkata, kerajaan hari ini merupakan kerajaan campuran yang dianggotai parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan, justeru pembangunan serta peruntukan kepada rakyat, termasuk masyarakat Orang Asli, tetap akan diteruskan.

“Dari segi pembangunan dan peruntukan, semuanya terjamin. Sebab itu saya yakin selepas penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri hari ini, masyarakat Orang Asli akan lebih yakin dan lebih berani membuat pilihan mereka pada hari pengundian,” katanya.
