‘Perdana Menteri juga manusia biasa’, Anwar akui tersalah istilah, ulangi mohon maaf kepada masyarakat India
Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi tampil memohon maaf kepada masyarakat India selepas mengakui tersalah menggunakan istilah dalam sebuah forum di Universiti Malaya sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sama sekali tidak berniat menyinggung mana-mana pihak, namun menerima hakikat bahawa pemilihan perkataan yang tidak tepat telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian masyarakat India.
“Dalam satu forum di Universiti Malaya, saya telah menggunakan istilah yang tidak tepat. Saya sudah pun memohon maaf kerana bukan itu maksud saya.
“Perdana Menteri juga manusia biasa. Adakalanya saya tidak berniat sedemikian, tetapi menggunakan perkataan yang salah. Saya menerima kesilapan itu dan telah memohon maaf,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PMX Bersama Komuniti India, di Seremban, malam tadi.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat India tempatan.

Anwar berkata, permohonan maaf tidak menjadikan seseorang pemimpin itu lemah, sebaliknya, mencerminkan keikhlasan untuk mengakui kesilapan serta membetulkan keadaan.
“Memohon maaf tidak menjadikan saya kecil. Saya melakukannya dengan ikhlas demi membawa perubahan kepada negara ini,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Dua darjah kebesaran ditarik serta-merta, Rais Yatim hilang gelaran Negeri Sembilan