‘Tamak, haloba, serakah’ – Anwar dedah kenapa Tabung Haji hampir terlungkup

Tabung Haji (TH) hampir runtuh bukan kerana kekurangan aset atau sejarahnya yang lemah, tetapi akibat kecuaian, kegagalan tadbir urus serta budaya tamak dan haloba dalam pengurusan institusi itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata Jemaah Menteri memutuskan untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan sepenuhnya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

“Jemaah Menteri bersetuju untuk menyebarkan seluruh laporan RCI Tabung Haji.

“TH adalah gedung yang besar dan megah, sebuah institusi yang mempunyai sejarah gemilang, diilhamkan oleh seorang pejuang, pemikir dan sarjana ulung, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, serta telah berkhidmat kepada ratusan ribu jemaah haji,” katanya.

Anwar berkata, TH dibangunkan atas asas integriti, amanah dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, selaras dengan gagasan yang dibawa oleh pengasasnya.

Namun, katanya, institusi itu hampir musnah apabila nilai-nilai tersebut diketepikan.

“TH hampir terlungkup kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya, kerana tergelincir, tamak, haloba, kelalaian dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan penyahklasifikasian laporan RCI Tabung Haji yang menyiasat pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan berkenaan antara lain mendedahkan kelemahan tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan risiko yang menurut suruhanjaya telah menyumbang kepada kemerosotan kedudukan kewangan TH sehingga memerlukan pelan pemulihan selepas pertukaran kerajaan pada penghujung 2018.

Menurut Anwar, keputusan kerajaan mendedahkan keseluruhan laporan RCI dibuat atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban supaya rakyat dapat menilai sendiri fakta serta pengajaran daripada episod berkenaan, sekali gus memastikan institusi yang dibina atas kepercayaan umat Islam itu terus diperkukuh dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengerusi Maybank Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Uda serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

BACA JUGA Dua darjah kebesaran ditarik serta-merta, Rais Yatim hilang gelaran Negeri Sembilan