Malaysia raih pengiktirafan global, PNB antara empat institusi pelaburan terbaik dunia
Ketika perhatian umum tertumpu kepada pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, mungkin ramai tidak menyedari terdapat satu pencapaian penting negara baru-baru ini apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) diiktiraf sebagai institusi pelaburan terbaik di Malaysia dan keempat terbaik di dunia.
PNB berjaya memulihkan kedudukannya di peringkat dunia dalam Papan Skor GSR (Governance, Sustainability and Resilience) 2026 yang diterbitkan Global SWF.
Pencapaian itu menyaksikan PNB melonjak ketara berbanding kedudukan ke-17 dunia pada 2025, sekali gus mencerminkan pengukuhan berterusan dalam aspek tadbir urus, kelestarian serta daya tahan organisasi.
Penarafan GSR Global SWF menilai lebih 200 institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia berdasarkan tiga komponen utama iaitu tadbir urus, amalan kelestarian dan ketahanan institusi.
Papan Skor GSR Global SWF menjadi penanda aras utama bagi institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia dalam mengukur tahap kecemerlangan tadbir urus, kelestarian dan daya tahan.
PNB mencatatkan skor keseluruhan 88 peratus, dengan 90 peratus bagi aspek tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus dalam komponen daya tahan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, peningkatan kedudukan itu membuktikan komitmen organisasi dalam memperkukuh amalan tadbir urus serta membina institusi yang lebih berdaya tahan.
“Peningkatan kedudukan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat di peringkat global dalam tempoh setahun merupakan pengiktirafan kukuh terhadap usaha kolektif yang dilaksanakan di seluruh PNB,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pencapaian skor sempurna bagi aspek kelestarian turut menjadi pengiktirafan penting terhadap usaha PNB mengintegrasikan prinsip kelestarian dalam operasi, pelaburan dan pendekatan kepengurusan.
Menurutnya, PNB baru-baru ini memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memperluaskan komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) kepada pendekatan lebih menyeluruh menerusi tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.
“Rangka kerja ini menyediakan hala tuju jelas bagi mewujudkan nilai jangka panjang, memperkukuh daya tahan serta menyampaikan hasil mampan kepada pemegang unit dan pihak berkepentingan,” katanya.
Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan penarafan itu ialah pencapaian sasaran Perusahaan Sifar Bersih PNB bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025.
PNB turut meneruskan aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050 menerusi penglibatan aktif bersama syarikat pelaburan serta penerapan pertimbangan berkaitan iklim dalam proses membuat keputusan pelaburan.