‘Kamu isytihar bonus 13 bulan untuk orang kamu ketika TH rugi…mana orang tak marah’

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) telah mendedahkan dapatannya bahawa ketika Tabung Haji sedang berdepan masalah kewangan antara 2014-2017, ahli lembaga menerima bonus khas sehingga keseluruhan 13 bulan gaji pada 2014, melibatkan peruntukan berjumlah RM74 juta.

Suruhanjaya berpendapat bahawa pemberian bonus pada kadar luar biasa itu tidak wajar kerana LTH sedang berdepan masalah kewangan. 

Dalam tempoh tersebut, nilai aset LTH dilaporkan lebih rendah berbanding liabilitinya, sebagaimana dinyatakan dalam penyata kewangan tahunan dan turut diakui Jabatan Audit Negara.

Mengulas perkara itu, Syed Saddiq berkata, perkara itu memang sewajarnya menimbulkan kemarahan ramai kerana bonus setinggi itu diisytihar ketika TH sedang berdepan masalah kewangan.

“Pada tahun syarikat kamu rugi disebabkan keputusan yang kamu buat sebagai ketua, walaupun pemegang saham dan semua pihak merana, kamu isytiharkan bonus untuk orang-orang kamu sehingga 13 bulan.

“Mana orang tidak marah? Segelintir pihak mendapat keuntungan luar biasa, tetapi akhirnya orang lain pula yang terpaksa menanggung beban tersebut. Bukan sekadar nak bayar bonus kamu yang luar biasa tetapi perlu bayar semula kerugian berpunca pengaruh politik kamu,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, isu tersebut bukan sekadar membabitkan pembayaran bonus pada kadar tinggi, malah turut berkaitan usaha kerajaan dan rakyat yang perlu menanggung semula kerugian yang didakwa berpunca daripada keputusan pelaburan yang dipengaruhi kepentingan politik.

Beliau juga menyebut tentang dapat RCI bahawa terdapat kumpulan tertentu dalam pengurusan tertinggi yang tidak mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara sah dalam proses pemberian bonus berkenaan.

Atas sebab itu, beliau menyatakan sokongan terhadap cadangan supaya bonus berkenaan dituntut semula daripada pihak yang menerimanya sekiranya terbukti pembayaran itu dibuat tanpa mematuhi peraturan.

“Jadi, sekarang kena tarik balik. Saya bersetuju dengan cadangan tersebut dan ia patut dikuatkuasakan,” katanya.