‘Kalau undi PN, sebenarnya undi Pas’ – Radzi dakwa logo cuma helah tarik pengundi bukan Melayu 

Pas didakwa terus menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana menyedari parti itu sukar memperoleh sokongan pengundi bukan Melayu jika bertanding menggunakan lambangnya sendiri.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata penggunaan logo PN bukan sekadar strategi pilihan raya, sebaliknya bertujuan menampilkan imej Pas yang lebih sederhana dalam usaha memikat pengundi pelbagai kaum.

“Hari ini Perikatan Nasional digunakan sebagai ruang untuk Pas tunjuk yang moderat, itu sahaja.

“Pas bertanding menggunakan Perikatan Nasional bukan kerana apa. Pas tahu kalau dia bertanding atas logo Pas, orang bukan Melayu tidak akan beri sokongan,” katanya ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pengundi bukan Melayu perlu memahami bahawa landskap politik telah berubah selepas Bersatu tidak lagi berada dalam PN pada pilihan raya kali ini.

Justeru, katanya, pengundi tidak seharusnya terkeliru dengan penggunaan logo PN.

“Pada pengundi bukan Melayu di Negeri Sembilan, Perikatan Nasional yang ada pada hari ini adalah persamaan dengan Pas.

“Kepada pengundi MCA, pengundi MIC dan semua pengundi bukan Melayu, saya nak tegaskan, apabila saudara mengundi Perikatan Nasional, saudara sebenarnya mengundi Pas,” katanya.

Dr Radzi mendakwa penggunaan logo PN hanyalah strategi politik bagi meluaskan penerimaan Pas dalam kalangan pengundi yang sebelum ini sukar menerima parti itu secara langsung.

Beliau berkata, pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan realiti komposisi parti dalam gabungan berkenaan, bukannya semata-mata melihat kepada logo yang digunakan pada kertas undi.

Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN Negeri Sembilan memasuki hari-hari terakhir menjelang hari pengundian, dengan parti-parti bertanding giat memujuk pengundi atas pagar, khususnya di kerusi campuran yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan.

BACA JUGA ILHAM akui Tok Min masih popular 75%, lima kerusi penentu buka ruang PH tepis ramalan