Aminuddin yakin PH lepasi 19 kerusi, sasar kekal terajui Negeri Sembilan

FOTO BERITA: Hari Mengundi PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16. Calon bagi N.32 Linggi YB Aminuddin Harun buang undi di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar Sikamat Negeri Sembilan. 1hb Ogos 2026 (Sabtu)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun, menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Sikamat, pagi ini.

Bercakap kepada media selepas mengundi, Aminuddin berkata beliau kekal optimis bahawa Pakatan Harapan mampu memperoleh lebih daripada 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurut beliau, meskipun pelbagai analisis dan tinjauan menjelang hari pengundian memberikan pelbagai gambaran, jentera PH tidak terjejas dan terus yakin dengan sokongan yang diterima di semua kawasan yang ditandingi.

“Insya-Allah kita masih yakin akan melepasi 19 kerusi. Sehingga malam tadi saya semak semua kawasan yang kita bertanding mempunyai potensi yang baik dan jentera kita tidak rasa tertekan dengan pelbagai spekulasi atau analisis yang dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengulas mengenai pelaksanaan prosedur baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi yang didakwa dibangkitkan oleh beberapa calon PH.

Beliau berpandangan bahawa sebarang prosedur baharu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan semua calon sebelum dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan serta kelewatan ketika proses pengundian.

“Kita bimbang jika percubaan dibuat pada hari pilihan raya, ia boleh menyebabkan proses mengundi menjadi lebih lambat dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi. Penambahbaikan sepatutnya dibuat di luar tempoh pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi, Aminuddin berharap sasaran 70 peratus dapat dicapai menjelang tamat tempoh pengundian hari ini.

Selepas selesai mengundi, beliau dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa pusat mengundi di kawasan DUN Linggi bagi meninjau perjalanan proses pengundian dan bertemu jentera parti.