SARA masuk hari ini! Duit dalam MyKad dah boleh guna beli lebih 140,000 barangan

Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mula menerima pengkreditan bantuan bulanan ke dalam MyKad masing-masing bermula hari ini bagi membantu meringankan kos sara hidup.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian daripada 15 kategori yang diluluskan, melibatkan lebih 140,000 pilihan barangan di premis yang mengambil bahagian.

Menurut kementerian, penyaluran bantuan melalui MyKad itu bertujuan membantu penerima memenuhi keperluan asas isi rumah selain mengurangkan beban perbelanjaan harian.

“SARA Bulanan dikreditkan mulai hari ini! 

Bantuan yang disalurkan melalui MyKad ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian daripada 15 kategori yang diluluskan, dengan lebih 140,000 pilihan barangan.

Semoga bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan isi rumah dan membantu memenuhi keperluan harian anda,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelayakan, semakan status serta senarai barangan dan premis yang mengambil bahagian boleh melayari sara.gov.my.

Program SARA merupakan antara inisiatif di bawah Kerajaan MADANI yang menyalurkan bantuan secara tanpa tunai menerusi MyKad bagi memastikan bantuan digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas.

BACA JUGA ANALISIS | Umno cari perkataan ‘sakau’, rakyat mahu tahu siapa rosakkan Tabung Haji