Mana Tok Jalal ketika MB angkat sumpah? Netizen sindir siap sedia ‘popcorn’

Ketidakhadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini mencetuskan tanda tanya serta pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Kerusi yang dikhaskan untuk beberapa wakil rakyat dilihat kosong ketika ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Istana Besar Seri Menanti.

Jalaluddin, yang lebih mesra dipanggil Tok Jalal, sebelum ini antara nama yang disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Ketiadaan beliau pada istiadat itu menyebabkan sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan sama ada ia sekadar berpunca daripada notis jemputan yang singkat atau mempunyai kaitan dengan perkembangan lain dalam kem politik negeri.

Seorang netizen, Muhammad Afham, menyifatkan alasan berhubung jemputan pada saat akhir sebagai jawapan berlapik Ismail kerana semua calon dan parti sudah mengetahui bahawa proses pelantikan Menteri Besar lazimnya berlangsung selepas keputusan pilihan raya diketahui.

“Ayat berlapik saja tu. Semua orang tahu lepas pilihan raya mesti ada angkat sumpah,” katanya.

Farid Anuar pula mempersoalkan ketidakhadiran wakil rakyat pada majlis rasmi di istana, sambil menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku pada hari pertama selepas kemenangan pilihan raya.

“Takkanlah hari pertama pun dah tak hormat Tuanku. Parah ni. Dah menang pun masih buat perangai,” tulisnya.

Ponteng

Seorang lagi netizen, Nain Mamat, turut mempersoalkan penjelasan bahawa ADUN terbabit mungkin mempunyai urusan lain.

“Mungkin ada hal lain. Kartun jawapan MB. Upacara istana pun boleh ponteng. Apa dah jadi ni, Tok Jalal?” tempelaknya.

Malah, ada pengguna media sosial mula membuat spekulasi mengenai kemungkinan berlaku pergeseran dalaman atau perebutan pengaruh susulan pemilihan Ismail sebagai Menteri Besar.

“Team Jalal nak buat sidang media tarik sokongan lagi ke tu?” perli Fitri Termizi, merujuk kepada kemungkinan yang belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Amrullah Amran pula menjangkakan episod perebutan dalaman mungkin berterusan dalam beberapa hari akan datang.

“Menggelupur. Tengoklah esok lusa berebut dalaman pula,” katanya.

Dalam nada sindiran, Haqiemi Hasni menulis bahawa ADUN yang tidak kelihatan mungkin tersalah tempat menghadiri istiadat.

“Semua siap sedia di Istana A Famosa kot. Silap venue,” selorohnya.

Parti bermasalah

Wina Irwan pula menyindir bahawa sikap sebenar sesetengah pemimpin mula terserlah selepas memperoleh kemenangan.

“Jenis berlawan konon untuk bangsa. Sekali menang, true colour keluar,” tulisnya.

Sementara itu, Abdul Rahman Muhydin berpendapat rakyat Negeri Sembilan akhirnya menjadi pihak yang menanggung kesan selepas sebuah pentadbiran yang disifatkannya efisien dan bersih digantikan.

“Rakyat Negeri Sembilan yang kena game. Dah baik-baik ada kerajaan efisien dan bersih, nak sangat yang dari parti bermasalah” katanya.

Terdahulu, Ismail menepis tanggapan negatif berhubung kerusi ADUN yang kosong pada istiadat berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa semua ADUN telah dijemput oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun jemputan hanya dihantar sekitar jam 4 pagi, menyebabkan sebahagian daripada mereka mungkin sudah mempunyai komitmen lain.

“Ada hal lah tu. Saya pun tidur pun tak cukup lagi. Jemputan dibuat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jemput semua. Cuma mungkin notisnya agak pendek.

“Jemputan pula dihantar pada pukul 4 pagi, jadi pagi ini mungkin sudah ada komitmen lain,” katanya.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut belum meredakan sepenuhnya persoalan netizen, khususnya apabila kerusi beberapa wakil rakyat utama termasuk mereka yang pernah dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar dilihat kosong.

Setakat ini, Jalaluddin belum mengeluarkan penjelasan terbuka mengenai ketidakhadirannya pada istiadat berkenaan.

Semakan juga mendapati sehingga malam ini masih tiada hantaran terkini menerusi laman Facebook rasmi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan itu.

BACA JUGA ‘Saya pun tidur tak cukup lagi’, MB baharu N. Sembilan jawab kerusi ADUN banyak kosong